KERTAS KERJA PEMATUHAN SYARIAH (1) - WAKAF ANGKASA

KIMK Bhd On 2:10 PM

Dipaparkan di sini kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar di atas untuk rujukan para anggota dan pembaca.......


WAKAF ANGKASA (WASA)

Pendahuluan

Wakaf adalah sejenis infaq yang sama dengan infaq sunat lain seperti sedekah jariah, tabarru’ dan khairat. Ia berbeza dengan infaq lain tersebut kerana infaq lain tersebut digunakan terus habis setelah penerima menggunakannya.

Manakala harta yang diwakafkan tidak dibelanjakan oleh penerima sebaliknya kekal diuruskan oleh autoriti atau badan tertentu bagi memastikan ia terus kekal dan memungkinkan manfaatnya (usufruct) digunakan oleh orang tertentu bagi wakaf khas dan masyarakat umum bagi wakaf am.

Harta yang diwakafkan itu menjadi hak milik seluruh umat Islam. Semua infaq tersebut merupakan pinjaman (qardh) yang dipinjam kepada Allah yang dibalas dengan pahala.
Ahli ekonomi, berpendapat pembangunan ekonomi negara disumbangkan oleh tiga sektor berikut iaitu sektor awam(siasi), sektor swasta(tijari) dan sektor koperasi (ta’awuni), tetapi dari perspektif Islam terdapat empat sektor keempat iaitu sektor kebajikan (infaq Ijtima’) yang diberi sebagai tanggungjawab sosial yang tidak dikaitkan dengan keuntungan dan harapan pulangan balik kepada pemberi.

Ia tidak kurang pentingnya dalam memberi sumbangan perkembangan ekonomi negara. Sektor keempat ini adalah bersifat lestari (self sustaining) yang hanya memerlukan pengurusan yang efisien dan cekap.

Sektor keempat ini dalam sistem ekonomi kapitalis dianggap sebagai sumbangan kepada masyarakat yang disebutkan Corporate Sosial Responsibility (CSR) yang disumbangkan hanya jika ada untung kepada pemberi biasanya dikaitkan dengan harapan pulangan balik kepada pemberi setelah pemberian tersebut dalam bentuk marketing atau mendapat nama dari masyarakat atau pemerintah.

Definisi wakaf

Wakaf berasal daripada kata dasar Waqafa yang bermaksud menahan sesuatu harta daripada hilang atau habis digunakan tetapi sebaliknya ia kekal dengan faedahnya (usufruct) sahaja dimanfaatkan.

Wakaf pertama dalam sejarah Islam ialah apabila Saidina Umar Al-Khattab menahan harta rampasan perang Khaibar daripada diberikan kepada pejuang-pejuang perang seperti yang biasa dilakukan sebelumnya. Sebaliknya mengarahkan faedah daripada harta tersebut sahaja yang diagihkan kepada mereka.
Seterusnya wakaf peniaga yang dilakukan oleh Syaidina Uthman B Affan bagi membiayai air minuman di bandar Madinah.

Justeru wakaf lebih berpotensi membangun ekonomi umat berbanding dengan zakat.
Seluruh negara Islam di Timur Tengah mengenai potensi wakaf dengan sepenuhnya di mana ia dijadikan salah satu daripada Kementerian Dalam Negara dengan nama WIZARATUL AUQAF yang ditadbir oleh Menterinya WAZIRUI AUQAF.
Malaysia baru mula melihat potensi ini dengan menubuhkan Jabatan Wakat, Zakat dan Haji (JAWHAR). Sebaliknya Malaysia lebih fokus dalam pungutan zakat dengan menubuhkan Pusat Pungutan Zakat (PPZ). Keadaan ini tidak berlaku di Negara Timur Tengah.

Perbezaan Zakat & Wakaf

Wakaf adalah salah satu cara Islam menggunakan harta individu untuk tujuan pembangunan Ummah selain daripada zakat. Bezanya, zakat merupakan suatu yang wajib ke atas harta yang telah memenuhi syarat yang ditetapkan. Manakala wakaf adalah amalan sunat bagi mereka yang mahu menginfakkan hartanya kepada masyarakat umum semata-mata kerana mengharapkan ganjaran daripada Allah S.W.T . ia lebih fleksibel berbanding dengan zakat di mana ia tidak terhad kepada Muslim sahaja dan tidak terhad di kawasan tertentu. Wakaf juga tidak terbatas kepada asnaf yang lapan setelah cukup nisab dan haul serta kadar tertentu.

Sejarah Perkembangan Wakaf

Sejarah mencatatkan bahawa wakaf telah membangunkan ekonomi ummah dengan jayanya. Contohnya di Mesir Wakaf Azhar bukan sahaja berjaya membiayai sistem pendidikan Islam dan bidang pendidikan yang lain seperti kedoktoran di Universiti Al-Azhar secara percuma kepada umat Islam di seluruh dunia, bahkan pernah wangnya dipinjamkan kepada kerajaan Mesir untuk menampung perbelanjaan pentadbiran negara.

Tidak kurang juga di Malaysia di mana wakaf berjaya mempertahankan harta orang Islam di bandar-bandar besar seperti Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Di samping wakaf sekolah Agama Rakyat yang banyak di seluruh negara.

Zaman Khalifah Uthmaniyyah telah menunjukkan puncak pencapaian wakaf yang berjaya membiayai sejak dari bayi hingga mati dengan catatan bahawa “Seseorang itu dilahirkan dalam rumah yang diwakafkan, tidur dalam buaian yang diwakafkan, membaca buku-buku yang diwakafkan, mengajar dalam sekolah yang diwakafkan, menerima gaji pentadbiran Wakaf, dan akhirnya bila ia mati kelak, urusan jenazahnya adalah atas pentadbiran Wakaf dan dikuburkan dalam tanah perkuburan Wakaf.”

Istanbul, dalam tahun 1576, telah menubuhkan Institut Wakaf bagi memberi perkhidmatan awam. Bagi memastikan institusi ini berfungsi secara berterusan, maka harta-harta peribadi telah juga diwakafkan. Melalui Wakaf, harta-harta peribadi ini akhirnya melahirkan ribuan perkampungan, ratusan pekan/bandar, jalan-jalan yang menghubungi bandar-bandar, jambatan-jambatan dan sebagainya.

Kajian menunjukkan tiga perempat tanah “Empire Ottoman” adalah tanah Wakaf; setengah tanah pertanian Algeria adalah Wakaf; sepertiga tanah Tunisia adalah Wakaf, dan seperlapan tanah pertanian Mesir adalah Wakaf. Selain Wakaf harta tetap, wakaf tunai juga mendapat sambutan yang hebat.

Senario di atas menggambarkan keadaan atau suasana di mana masyarakat berlumba-lumba untuk membuat Amal Jariah seperti kemudahan kesihatan, kemudahan awam, kemudahan pendidikan, kemudahan ibadat khusus dan lain-lain kemudahan untuk kepentingan awam.
Baiknya ialah semua kemudahan di atas dibangunkan, diselenggarakan dan dikembangkan berasaskan konsep Wakaf dan ia bersifat lestari (self sustaining). Besarnya harta-harta wakaf tersebut sehingga wujud keperluan kepada kementerian yang khusus bagi menguruskan harta wakaf.

Wakaf Koperasi anjuran ANGKASA (WASA)

Wakaf koperasi merupakan salah satu kaedah bagi membangunkan ekonomi anggota koperasi khasnya dan ekonomi negara amnya. Ia diyakini mampu memiliki aset atau bangunan perniagaan koperasi di tengah bandar di seluruh negara seiring dengan pihak swasta bagi membantu anggotanya berniaga, di samping perkhidmatan lain kepada anggota seperti perkhidmatan kesihatan, pelajaran, perhotelan pengangkutan dan pelancongan.
ANGKASA mempunyai kekuatan (strength) dalam mewujudkan wakaf koperasi memandangkan kedudukannya seperti berikut:
a) Ahli koperasi ANGKASA sehingga Jun 2010 berjumlah 4,031 buah koperasi dan anggota individu nya berjumlah 5,053,738 orang.
b) Mempunyai sistem potongan gaji ANGKASA bagi kakitangan kerajaan yang mahu mewakafkan secara bulanan.
c) Kredibiliti ANGKASA yang menguruskan wang potongan gaji melebihi 8 billion setahun dan tidak pernah berlakunya penyelewengan. Keadaan ini lebih meyakinkan semua pihak terhadap pengurusan wakaf koperasi.
d) Sifat orang Melayu Muslim (MM) yang suka melakukan infaq lebih-lebih lagi wakaf. Sifat MM ini diiktiraf oleh kebanyakan orang terutama sekali di Mekah.
e) Wakaf merupakan amal jariah yang dijamin pahalanya selagi wakaf itu dimanfaatkan oleh orang lain. Ia adalah di antara tiga amalan yang ganjaran pahalanya sampai kepada seseorang sekalipun setelah mati, di samping ilmu pengetahuan yang disumbangkan dan anak soleh yang berdoa untuknya.

Sumber Wakaf ANGKASA

Wakaf ANGKASA terbuka kepada semua koperasi dan anggota koperasi tanpa mengira agama yang dianuti. Justeru ia sejajar dengan polisi satu Malaysia. Berikut adalah program yang akan dilakukan oleh ANGKASA bagi mengumpulkan dana wakaf tersebut.
a) Sumbangan minimum RM1.00 seorang ahli anggota koperasi yang mengguna perkhidmatan potongan gaji ANGKASA. Sekarang terdapat 2.8 juta akaun.
b) Perpindahan wang dari tabung koperasi yang sudah ditutup kerana tidak aktif. Dormant Co-operative ini banyak wangnya yang disimpan di Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
c) Wang yang tidak dituntut oleh anggota koperasi yang tidak aktif boleh dipindah kepada wakaf koperasi setelah anggota koperasi tersebut memberi keizinan dari awal semasa menyertai koperasi, sebelum sampai unclaim money time.
d) Wakaf korporat koperasi (Co-operative Corporate) yang mewakafkan keuntungannya sahaja pada setiap tahun. Ini bertujuan bagi memenuhi Co-operative Social Responsibility (CSR) yang sumbangannya diberi atas dorongan tanggungjawab sosial dan ia diperuntukkan sebagai satu daripada aktiviti yang lazim sesebuah koperasi bagi memenuhi prinsip koperasi yang ke tujuh iaitu social responsibility.
Co-operative Social Responsibility (CSR) menepati infaq Ijtima’ (IQI) yang menjadi tanggungjawab seseorang Muslim kepada masyarakat. Infaq Ijtima’ (IQI)harus digunakan bagi menggalakkan kekeliruan di antara Co-operative Social Responsibility (CSR)dalam koperasi dengan Corporate Social Responsibility (CSR) pihak swasta yang diberi jika ada keuntungan dan diberi dengan dikaitkan pulangan tidak langsung kepada pemberi, atau dengan kata lain pemberian yang bersyarat dan kurang keikhlasan.
e) Unit wakaf tunai dengan satu unit RM50. Diberi untuk mereka yang tersayang yang telah meninggal atau untuk diri sendiri.

Sumbangan Wakaf Koperasi

Faedah atau manfaat daripada wakaf koperasi boleh di kecapi oleh semua anggota koperasi mengikut aktiviti yang dianjurkan oleh wakaf koperasi itu sendiri. Dicadangkan wakaf koperasi melakukan aktiviti berikut.

· Mewujudkan pusat perniagaan koperasi di tengah-tengah bandar bagi tujuan koperasi memasarkan produk masing-masing. Pusat perniagaan tersebut diurus oleh wakaf koperasi dengan mengenakan sewaan nominal bagi tujuan untuk perbelanjaan pengurusan bangunan tersebut.
· Memberi bantuan pendidikan kepada warga koperasi untuk melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara.
· Membeli tanah atau membangun aset koperasi dan bukan koperasi yang strategik di bandar-bandar dan membangunkannya untuk kepentingan warga koperasi dan MM keseluruhannya.

Bangunan disewakan kepada masyarakat dengan kadar sewaan yang berpatutan. Dengan demikian ia menstabilkan kadar sewaan yang selalunya tinggi berlebihan yang biasa dilakukan swasta bagi mendapat keuntungan yang besar. Bahkan dalam konteks Malaysia yang masyarakatnya berbilang kaum dan Agama, maka wakaf harus ditingkatkan pelaksanaan demi memelihara harta MM kekal di tempat-tempat strategik.

Syeikh Abu Zuhrah menyebutkan bahawa banyak pemerintah (rulers) dan orang kaya menggunakan wakaf bagi memelihara harta mereka terselamat daripada di ambil atau dirampas oleh pemerintah yang mendapat kuasa. Beliau juga menyebutkan tidak ada disebut di mana-mana tulisan atau fatwa yang menyebutkan pengwakaf melantik kerajaan sebagai pengurus bagi mengurus wakafnya.

Atas faktor siasah syariyyah pentadbiran wakaf perlu ditadbir oleh satu badan khusus yang dihentak oleh kerajaan bagi tujuan pemeliharaan harta wakaf tersebut dan pengembangannya.

· Di samping itu ia dapat memenuhi target pemilikan harta orang-orang MM di bandar dengan kadar pencapaian 30 % kuota.
· Membina pusat old folk home bagi orang tua tanpa mengira agama dengan dilengkapi perkhidmatan kesihatan dan masjid dilengkapi dan pusat pengajian. Ia akan dikenakan pembayaran yang minima.
Mewujudkan rumah rehat koperasi (Co-operative Rest House) di seluruh negara bagi tujuan kegunaan anggota koperasi keseluruhannya, termasuk pembinaan resort, home stay, hotel dan lain-lain. Ia juga akan dikenakan bayaran yang minima.

Majlis Agama Islam Negeri Pemegang Amanah Wakaf

Wakaf dan zakat ditadbir oleh Majlis Agama Islam Negeri dan Sultan sebagai Ketua Agama seperti yang disenaraikan di bawah state list di dalam perlembagaan Malaysia. Justeru urusan wakaf dan zakat setiap negeri di tentukan oleh Majlis Agama Islam masing-masing dari segi pengutipan dan pengagihan zakat; dan pemeliharaan dan perkembangan serta penggunaan wakaf.

Beberapa usaha telah dilakukan oleh Majlis Agama Islam negeri bagi memajukan pengembangan wakaf negeri masing-masing. Di antaranya melancarkan wakaf kaki, wakaf ela dan yang terkini saham wakaf atau wakaf tunai.

Kerajaan pusat telah menubuhkan Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) bagi membantu pengembangan harta wakaf setiap negeri dengan dana sebanyak 200 juta yang telah diberi oleh kerajaan pusat.

Sebuah yayasan wakaf kebangsaan telah ditubuhkan hasil kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-negeri dengan JAWHAR. Projek pertama yayasan ialah wakaf tunai. Ekoran itu beberapa negeri telah mewujudkan badan khas bagi melaksanakan pungutan wakaf tunai. Misalnya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menubuhkan Perbadanan Wakaf Selangor melalui potongan gaji ANGKASA bagi kakitangan kerajaan dari negeri Selangor. Badan yang serupa juga diwujudkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang, dan lain-lain Majlis Agama Islam Negeri.

Mengikut peraturan Majlis Agama Islam Negeri setiap kutipan wakaf hendaklah di masuk di dalam akaun wakaf majlis agama masing-masing.ini menyebabkan sukar untuk dilaksanakan kerana ia memerlukan kelulusan Sultan atau Yang Dipertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Melaka.

Justeru Majlis Agama Islam Negeri kita mesti kreatif supaya ia tidak terjebak dengan peraturan di atas iaitu dengan membenarkan mana-mana pihak untuk melakukan kutipan untuk diwakafkan dengan dikawal oleh Majlis,

Kemudian barulah diwakafkan untuk tujuan tertentu seperti membeli bangunan dan sebagainya. Selepas itu harta tersebut baru didaftar sebagai wakaf bagi negeri berkenaan.

Dengan cara ini wakaf akan berkembang dengan pesat. Contohnya ANGKASA hanya membuat kempen dikalangan anggota koperasi seluruh negara untuk infaq bagi diwakafkan bagi tujuan tertentu. Hal serupa boleh dilakukan galakan infaq untuk wakaf sekolah Agama dan lain-lain dengan pemantauan Majlis Agama Islam.

Kemudian diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dengan tujuan yang telah ditetapkan.

Kita harus menyediakan infrastruktur untuk amalan infaq yang akhirnya menjadi Budaya Masyarakat bagi membangun ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia. Ia sebenarnya membantu kerajaan dalam pembangunan ekonomi negara.

Pentadbiran Wakaf ANGKASA

Pentadbiran Wakaf ANGKASA dilakukan bersama di antara ANGKASA dan Majlis Agama Islam negeri dengan menumpukan di dalam perkara berikut:-
a) Penentuan Dasar wakaf tersebut dari segi tujuan dan matlamat.
b) Pembukaan akaun yang dikawal bersama.
c) Menentukan pentadbiran dan pengurusan harga wakaf tersebut.
d) Keutamaan penggunaan wang wakaf tersebut bagi pembelian bangunan untuk tujuan yang ditentukan oleh ANGKASA demi kepentingan anggota koperasi seluruh Malaysia.

Kesimpulan

Wakaf koperasi merupakan satu kekuatan kepada sektor koperasi negara bagi memantapkan gerakan koperasi itu sendiri. Ia adalah selaras dengan dasar dan prinsip koperasi yang menekankan amalan tolong-menolong di antara satu sama lain, bekerja secara sukarela untuk masyarakat dan prihatin terhadap masyarakat. Adalah diyakini wakaf koperasi akan mampu menyediakan pusat kesihatan, pusat pelancongan dan memiliki premis perniagaan yang besar di tempat-tempat yang strategik yang akan menjadi mercu tanda di bandar tersebut.

Disediakan :-
Prof. Dato’ Dr Mohd Ali Hj Baharum
Yang Dipertua ANGKASA