KERTAS KERJA PEMATUHAN SYARIAH (2) - SISTEM KEWANGAN ISLAM

KIMK Bhd On 2:22 PM

Dipaparkan di sini kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar di atas untuk rujukan para anggota dan pembaca

SISTEM KEWANGAN ISLAM : PERKEMBANGAN DAN PENGAWASAN SYARIAH
Dr. Abdul Halim El-Muhammady

1. Pendahuluan

Kertas kerja ini membimbincangkan dua aspek iaitu perkembangan industry kewangan Islam secara sepintas lalu diperingkat dalam Negara dan luar Negara diikuti perbincangan tentang pengawasan syariah yang lebih terperinci meliputi kepentingannya, peruntukan undang-undang, method penelitian dan penguatkuasaan undang-undang

2. Perkembangan industri kewangan Islam

Perbankan Islam dari sudut teori dan praktisnya sebagaimana yang diamalkan sekarang adalah suatu yang baru dalam masyarakat Islam dan bukan Islam walaupun asas pemikirannya telah lama wujud dalam agama Islam itu sendiri. Apa yang berlaku dalam amalan perbankan didunia Islam bagi menyusun pengurusan kewanagan bagi negara-negara yang dijajah maka diwujudkanlah Bank oleh kuasa penjajah; di Malaysia bank diperkenalkan oleh penjajah British, maka sudah tentulah amalannya berasaskan riba dan perundangannya berasaskan Common Law, undang-undang British.

Apabila Negara Islam mencapai kemerdekaan maka timbul kesedaran untuk mewujudkan bank yang segala urusannya tidak berlawanan denagn prinsip-prinsip muamalah Islam. Maka bermula dari tahun enam puluhan timbullah perbincangan awal tentang perbankan Islam, dan pada tahun tujuh puluhan ada beberapa percubaan dibuat untuk menubuhkan Bank Islam, dan pada tahun lapan puluhan dan sembilan puluhan penubuhan Bank Islam mula berkembang, dan di Malaysia dimulai dengan penubuhan Lembaga Tabung Haji bagi mengumpul dana orang-orang Islam untuk membiayai diri mereka menunaikan haji disamping simpanan yang dapat dilaburkan untuk mendapat keuntungan, kemudian tahun 1983, Bank Islam diwujudkan iaitu bank yang urusannya tidak ada unsur-unsur yang berlawanan dengan ajaran Islam, apabila Akta Bank Islam 1983 dikuatkuasakan diikuti dengan penubuhan Takaful 1984, dan seterusnya penubuhan pasaran modal Islam. Maka dengan adanya tiga institusi ini lengkaplah prasarana kewangan Islam di Malaysia.
Diperingkat global, institusi kewangan Islam memainkan peranan yang besar dalam perkembangan ekonomi dimana kita dapati eset perbankan Islam agak besar; Iran menyumbang sebanyak $345 billion dollar, Saudi Arabia $258 billion, Malaysia $142 billion, Kuwait $128 billion dan United Arab Emirate sebanyak $112 billion dolar. Selain dari itu negara-negara bukan Islam juga ada menyumbang kepada perkembangan perbankan Islam seperti United Kingdom, Singapore, Australia, France dan Korea Selatan. Selain dari itu kelahiran bond Islam sejak tahun 2002, melonjakkan lagi kegiatan kewangan Islam. Dalam masa enam tahun perkembangannya telah mencecah nilai sebanyak $100 billion dolar[1]. Ini semua menggambarkan betapa pesatnya perkembangan sistem kewangan Islam yang telah diterima oleh masyarakat Islam dan bukan Islam dan ia telah memasuki arus perdana dalam kegiatan kewangan dan ekonomi dunia.

3. Keperluan pengawasan dan penyeliaan Syariah

Bank Islam sebagai sebuah institusi kewangan perdagangan yang operasinya berteraskan perinsip-prinsip Islam maka sudah tentulah ia mesti diawasi oleh suatu badan yang diberi kuasa untuk memantau perjalanan dan pengawasannya, bermula dari penentuan jenis produk, pengeluarannya dan operasinya, serta ketentuan prinsip-prinsip syariah yang digunapakai terhadap sesuatu produk. Ini berarti pengawasan Syariah ialah sebuah lembaga/ jawatankuasa yang ditubuhkan berdasarkan undang-undang khas untuk meniliti dan mengawasi operasi perbankan Islam yang mana lembaga/ jawatankuasa sebegini tidak ada dalam perbankan konvensional kerana tiada keperluannya. Mengikut peruntukan Akta Bank Islam 1983 dengan jelas menyebut tentang keperluan lembaga/ jawatankuasa syariah ini untuk perbankan Islam.

Keperluan lembaga/ jawatankuasa ini penting untuk memastikan produk-produk perbankan Islam tidak berlawanan dengan prinsip-prinsip syariah Islam, dan perlaksanaan dalam pemasaran produk dan segala dokumen yang berkaitan memenuhi keperluan syariah, demi untuk meyakinkan pengguna terhadap kedudukan perbankan Islam itu dari sudut hukumnya dan juga harapan keberkatan dari operasinya dengan mengikut lunas-lunas syara dalam segala aspeknya. Ini bermakna melalui pengawasan ini dapat dipastikan setiap produk yang ditawarkan dipasaran menepati prinsip syariah Islam, operasinya juga berasaskan nilai-nilai Islam dan setiap dokumen yang berkaitan dengan produk disediakan bertepatan dengan prinsip syariah Islam; meliputi jenis kontrak dan segala peristilahan yang digunakan berkaitan dengan produk dan tidak berlaku percanggahan dengan prinsip-prinsip syariah.

Ia suatu yang penting kerana kedudukan bank sebagai sebuah institusi kewangan yang beridentitikan Islam secara jelas mestilah ia dilihat lebih baik dari bank konvensional dan komitmennya dengan hukum Syara’ dari sudut teori dan praktisnya jelas terserlah, disamping peraturan-peraturan lain yang standard yang digunapakai oleh semua Bank kerana objektif bank Islam bukan sahaja mengumpul dana dan mengembangkannya tetapi ia juga mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu orang miskin dan membuat kebajikan yang lain untuk kepentingan masyarakat seperti aspek pendidikan dan sebagainya.

Selain dari itu memandangkan perbankan Islam ini sesuatu yang baru, kebanyakan mereka yang terlibat dalam institusi perbankan Islam adalah dari golongan profesional yang biasa berpengalaman dengan perbankan konvensional dan kurang terdedah dengan prinsip-prinsip muamlah, syariah dan nilai-nilai budaya kerja yang bersifat keislaman maka sudah tentulah memerlukan bimbingan dari golongan yang faham dengan syariah Islam dan adab-adabnya disamping golongan yang mahir dalam bidang syariah ini juga memerlukan pengetahuan dan bimbingan dari golongan profesional dalam perkara-perkara yang melibatkan pembentukan produk dan operasinya. Maka melalui gabungan dua kemahiran syariah dan pengurusan profesional dapat mempercepatkan proses kematangan perjalanan perbankan Islam dari sudut teori dan praktisnya dan dengan harapan ianya akan menjadi lebih baik dari perbankan konvensional dengan adanya nilai tambah melalui prinsip-prinsip Islam yang lebih adil.

4. Peruntukan undang-undang tentang perbankan Islam

Di Malaysia, sebarang institusi yang ingin diwujudkan mestilah berasaskan undang-undang, maka untuk menubuhkan bank Islam yang sifatnya lain dari bank-bank yang sedia ada maka ia memerlukan suatu undang-undang yang khusus, bagi tujuan ini maka Akta Bank Islam digubal iaitu Akta Bank Islam 1983 yang mengandungi didalamnya sebanyak 60 peruntukan undang-undang dibawah lapan bab dan berkuatkuasa pada tahun 1983.

Bagi menentukan Bank Islam ini beridentitikan sebuah institusi kewangan Islam, maka ditakrifkan Bank Islam sebagai, “Sesuatu syarikat yang menjalankan perniagaan bank Islam dan memegang sesuatu lesen sah; dan semua pejabat dan cawangan bank itu di Malaysia hendaklah disifatkan sebagai satu bank[2]”. Manakala perniagaan Bank Islam pula dimaksudkan perniagaan bank yang tujuan dan pengendaliannya tidak melibatkan apa-apa elemen yang tidak diluluskan oleh agama Islam. Ini bermakna perniagaan dari sudut operasi dan matlamatnya berdasarkan prinsip-prinsip Islam.

Peruntukan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan Islam 1989 (BAFIA) menjelaskan lagi tentang pengertian perniagaan Bank Islam iaitu “Perniagaan yang menerima deposit akaun semasa, akaun deposit, akaun simpanan, atau akaun lain yang serupa itu; membayar atau memungut cek-cek yang dikeluarkan atau dibayar oleh pelanggan-pelanggan dan menyediakan pembiayaan; atau apa-apa perniagaan lain sebagaimana yang ditetapkan oleh Bank dengan kelulusan Menteri[3]”.

Melalui dua peruntukan ini menunjukkan bahawa perniagaan Bank Islam ini adalah berdasarkan prinsip Islam mengikut ABI, seksyen 2, manakala jenis-jenis produknya diperincikan oleh seksyen 2 BAFIA. Ini berarti peniagaan Bank Islam jenis perkhidmatan yang diberikan tidak ada bezanya dengan perbankan konvensional kecuali perbankan Islam terikat dengan prinsip-prinsip syariah atau tidak melibatkan unsur-unsur yang berlawanan dengan ajaran Islam.

Bagi meluaskan lagi skop operasi perbankan Islam, maka pada tahun 1993, Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA 1989) telah mengeluarkan suatu garis panduan “skim perbankan tanpa faedah” yang kemudian dikenali sebagai skim perbankan Islam untuk digunapakai oleh Bank-Bank konvensional. Penggubalan SPI ini berdasarkan garis panduan daripada Bank Negara Malaysia, tertakluk pada seksyen 126 Akta Bank Negara dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang dikuatkuasakan pada 5 Julai, 1993. Berdasarkan garis panduan ini bank-bank konvensional boleh memberikan perkhidmatan dan menawarkan produk-produk yang ditawarkan oleh perbankan Islam.

Peruntukan seksyen 124 Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 ini tidak terpakai keatas institusi kewangan Islam, demikian juga Akta Bank Islam 1983, tidak terpakai keatas institusi perbankan konvensional yang memberi perkhidmatan produk-produk perbankan Islam[4].

Peruntukan undang-undang diatas menjelaskan tentang perundangan yang diperlukan untuk menubuhkan perbankan Islam, mewujudkan system perbankan Islam di bank-bank konvensional, serta operasi dan ruang lingkup perkhidmatannya yang tidak ada unsur-unsur yang berlawanan dengan prinsip-prinsip syariah.

5. Peruntukan undang-undang tentang penubuhan jawatankuasa Syariah

Seksyen 3 (5) (b) Akta Bank Islam 1983 memperuntukkan bahawa antara syarat yang diperluakn untuk penubuhan Bank Islam ialah mewujudkan sebuah badan penasihat Syariah untuk menasihat Bank tentang pengendalian perniagaan Bank bagi menjamin ianya tidak terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang tidak diluluskan oleh agama Islam[5].

Perkara yang sama diperuntukkan dalam BAFIA seksyen 124 (3) iaitu “mana-mana Institusi berlesen yang menjalankan perniagaan bank Islam atau perniagaan kewangan Islam, sebagai tembahan kepada perniagaan berlesennya yang sedia ada boleh dari semasa ke semasa meminta nasihat Majlis penasihat Syariah yang ditubuhkan dibawah seksyen (3) mengenai pengendalian perniagaannya untuk memastikan bahawa ia tidak melibatkan mana-mana elemen yang tidak dibenarkan oleh agama Islam”[6]. Bagi manambah jelas lagi peruntukan ini maka diperuntukkan pula seksyen 124 (7), “Hendaklah ditubuhkan satu Majlis Penasihat Syariah yang terdiri dari mana-mana ahli dan mempunyai apa-apa fungsi, kuasa dan juga sebagaimana yang ditetapkan oleh Bank untuk menasihatkan bank itu tentang Syariah berkaitan dengan perniagaan bank Islam atau perniagaan kewangan Islam”[7].
Berdasarkan peruntukan undang-undang diatas yang terdapat dalam ABI 1983, dan dalam Akta BAFIA 1989, menunjukkan bahawa penubuhan Majlis Penasihat Syariah suatu yang mesti dilakukan oleh bank yang ingin menjalankan kegiatan perniagaannya berdasarkan syariah. Majlis ini dianggotai oleh orang-orang yang mempunyai kelayakan dalam bidang Syariah dan mu’amalah yang fungsinya memberi nasihat kepada bank tentang perkara syariah dalam perniagaan bank.

Bagi memenuhi peruntukan-peruntukan undang-undang diatas maka majlis syariah adalah bertanggungjawab untuk memastikan bahawa; pertama, perkhidmatan dan kemudahan yang diberikan oleh Bank Islam bertepatan dengan Syariah. Kedua, projek dan pelaburan disalurkan kepada urusniaga yang dibenarkan syariah. Ketiga, urusan perbankan secara umumnya dijalan dan diurus mengikut prinsip-prinsip syariah[8]. Ia sebuah badan yang dibentuk dibawah autoriti Bank Negara yang bertujuan untuk memerhati apakah bank-bank Islam dalam operasinya patuh kepada peraturan-peraturan Syariah[9]. Majlis Penasihat ini terdapat dua peringkat; peringkat pusat iaitu Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, peringkat kedua Jawatankuasa Syariah dibank.

6. Method Penelitian dan Pengawasan Majlis Penasihat Syariah Peringkat Bank Negara dan Peringkat Bank-Bank

Majlis penasihat Syariah Bank Negara, berdasarkan pengalaman penulis berada beberapa tahun di Bank Negara sebagai ahli Majlis apa yang berlaku setiap produk yang akan dibiincangkan ada kertas kerja awal yang disediakan oleh pihak pengurusan, atau pihak industri selepas diteliti oleh Bahagian Perbankan Islam dan Takaful Bank Negara. Apabila ia dibentangkan penilitian dibuat dari aspek sumber sandaran hukum, pandangan fuqaha dari berbagai Mazhab yang muktabar. Pandangan semasa fuqaha dan kemungkinan pelaksanaan serta kesannya kepada ekonomi Negara dan masyarakat. Selepas semua elemen-elemen diatas dirasakan mencukupi maka keputusan dibuat. Kemungkinan keputusan dapat dibuat dengan sekali mesyuarat, kemungkinan dua atau tiga kali mesyuarat. Ini proses berkaitan dengan penerimaan atau penolakan produk. Jika produk itu diterima maka dari sudut operasinya diawasi oleh pihak Bank Negara bagi memastikan operasinya menepati prinsip-prinsip Syariah.

Selain dari itu penulis juga terlibat dalam jawatankuasa Syariah di peringkat Bank. Proses awal tidak banyak berbeza dengan Bank Negara, dari sudut penyediaan kertas kerja awal untuk dibincangkan yang disediakan oleh bahagian produk. Oleh sebab diperingkat bank masih kurang pegawai yang mahir dalam bidang syariah yang mempunyai keupayaan akademik yang tinggi dalam bidang ini maka kertas kerja yang disediakan itu perlu kepada penelitian yang lebih dari jawatankuasa Syariah, dan kemungkinan memerlukan mesyuarat berulangkali untuk meluluskannya, kemungkinan kurangnya sandaran dan hujjah yang dapat menyokong produk yang dikemukakan jika ia belum ada dipasaran samada didalam atau diluar negara. Dalam konteks operasinya jika diteliti mungkin berlaku kesilapan urutan kontrak antara tawaran dan penerimaan, kesilapan-kesilapan istilah yang tidak seragam tentang kenyataan antara keuntungan dan interest yang menjadi amalan dalam konvensional masih terbawa-bawa dalam dokumen perbankan Islam, kedudukan pembeli sebgai wakil bank pada kontrak murabahah dan sebagainya.

Kesilapan-kesilapan diperingkat operasi ini boleh berlaku dalam dua tahap; tahap dalaman bank itu sendiri ketika membuat tawaran produk dari sudut cara kontrak diadakan antara bank dengan pelanggan dari jenis berbagai kontrak yang ditawar. Kedua tahap luaran iaitu peringkat penyediaan dokumen untuk menyediakan jenis kontrak dan istilah-istilah, syarat-syarat yang dimasukkan supaya ianya selari dengan jenis kontrak yang diadakan.

Berdasarkan pengalaman penulis yang terhad, maka dirasakan untuk menyempurnakan proses produk perbankan Islam itu telus dari sudut operasinya dan untuk lebih berkesan lagi jawatankuasa penasihat syariah perlu meneliti ketiga-tiga perkara yang terlibat dalam operasi perbankan Islam; pembentukan produk, peringkat pemasaran dan operasi dan peringkat penyediaan dokumennya. Kalau ini dapat dilakukan maka bank Islam akan menjadi lebih telus, lebih efesion dan lebih tepat dengan kehendak syariah.


7. Sumber dan Asas Penelitian dan Pengawasan Syariah

Selain daripada peruntukan undang-undang tentang perbankan Islam, dan pembentuk majlis penasihat syariah, maka disana terdapat beberapa sumber dan asas bagi penelitian dan pengawasan syariah pada perbankan Islam.
Sumber-sumber hukum yang dijadikan asas kepada penentuan hukum pada operasi perbankan Islam sama ada peringkat pembentukan produk-produk dan operasi keseluruhan mestilah berasaskan Qur’an dan Sunnah sebagai sumber utama, kemudian diikuti pula sumber-sumber tambahan sebagai asas ijtihad iaitu Qiyas, Ijma, Maslahah, Istihsan, Istishab, Sadd al-Zaqa‛i, Urf, Maqasid Syariah, Takwil, Istiqra dan Siasah Syar’iyyah.[10]
Berdasarkan sumber-sumber utama dan sumber-sumber tambahan yang menjadi asas dalam menentukan jenis-jenis prinsip Syariah yang digunapakai untuk diterapkan kepada produk-produk perbankan Islam.

Antara produk-produk yang diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara ialah, wadiah, mudharabah, musyarakah, bai bi thaman Ãjil, ijarah, murabahah, al-Qard al-Hasan, kafalah, hiwalah, Rahn, sarf, ujr, murabahah dan bai al-dayn.[11]
Mejlis penasihat syariah dalam menentukan sesuatu produk bank mestilah berasaskan sumber-sumber dan prinsip-prinsip yang diiktiraf oleh Bank Negara, disamping mencari prinsip-prinsip baru melalui ijtihad jika prinsip-prinsip yang sedia ada tidak dapat menampung keperluan semasa sebagai contoh aqd al-Tamyiz (kontrak konsesi) yang terkandung didalamnya prinsip jualbeli dan ijarah.

Selain dari itu dalam menentukan kedudukan hukum dalam perniagaan yang bercampur antara halal dan haram bagi menentukan statusnya sama ada mematuhi syariah atau tidak maka benchmark digunakan 5%, 10% yang haram, sebagai contoh.

8. Penguatkuasaan Undang-Undang untuk mengawal prinsip-prinsip Syariah dalam operasi Bank.

Majlis atau Jawatankuasa Syariah merupakan satu bentuk pengawasan ke arah ketepatan operasi bank dengan prinsip-prinsip Syariah, selain dari itu satu aspek lagi yang lebih berkesan ialah penguatkuasaan undang-undang melalui kuasa Bank Negara bagi mereka yang menyalahi prinsip-prinsip Syariah dalam menjalankan tugas operasi Bank Islam.

Akta Bank Islam 1983 memperuntukkan bahawa Bank Negara Malaysia mempunyai kuasa menyiasat dan mengkaji perjalanan perbankan untuk memastikan tujuan dan matlamat operasi perbankan tidak menyalahi prinsip-prinsip Syariah yang diperuntukkan untuk perbankan dan menyatakan bahawa menteri yang berkaitan mempunyai kuasa dengan nasihat Bank Negara Malaysia membatalkan lesen perniagaan Bank Islam yang gagal menjalankan urusniaga berasaskan prinsip-prinsip Islam yang diterima pakai[12].
Dengan adanya peruntukan ini boleh mengukuhkan lagi kedudukan prinsip-prinsip syariah yang diluluskan oleh majlis penasihat syariah terhadap produk yang disediakan oleh bank dan ia juga dapat membantu operasinya dengan lebih berkesan dan lebih telus.

9. Kesimpulan

Majlis atau Jawatankuasa penasihat Syariah Bank Negara dan bank-bank adalah amat penting begi menentukan ketepatan operasi Bank Islam dengan prinsip-prinsip Syariah yang diterimapakai.
Fungsinya ialah menentukan kesesuaian jenis-jenis produk yang disediakan oleh bank dengan prinsip-pirinsip Syariah. Prinsip Syariah yag diterima untuk sesuatu produk itu mestilah memenuhi tuntutan ciri-cirinya seperti rukun-rukun dan syarat-syaratnya, dan bebas dari cirri-ciri yang boleh membawa kontrak itu terbatal. Prinsip-prinsip yang diterimapakai itu juga harus diambil kira tentang keperluan pasaran dan boleh dilaksanakan. Manakala produk yang diluluskan itu mestilah diawasi operasinya dari sudut cara kontrak diadakan dan penyediaan dokumentasinya agar semua perkara yang berkaitan dengan syariah dipenuhi sepenuhnya.
Kedudukan Majlis atau Jawatankuasa Penasihat Syariah amat penting dalam institusi perbankan kerana mereka merupakan orang yang mencorakkan kedudukan identiti sesebuah bank itu sebagai bank Islam melalui pengawasannya yang menentukan ketepatan prinsip-prinsip syariah digunapakai oleh bank dan jaminan operasinya yang menepati kehendak hukum Syara.

Bagi menentukan produk-produk yang berasaskan syariah beroperasi dengan betul dan telus sebagaimana sepatutnya maka penguatkuasaan undang-undang amat perlu. Bank Negara yang mempunyai kuasa ke atas Bank Islam maka penguatkuasaan undang-undang dalam mengawasi operasi bank amat penting, supaya bank itu beroperasi dengan sebaik-baiknya mengikut hukum syara dan mana-mana institusi yang melanggar prinsip-prinsip syariah maka mestilah dihukum dengan hukuman yang setimpal.Maka dengan gabungan aspek keilmuan syariah kemahiran dan penguatkuasaan undang-undang ini prinsip-prinsip syariah dan operasinya pada bank terjamin dan ia tidak akan terkeluar daripada prinsip-prinsip syariah yang sebena

[1] Ibrahim Warde, (2010), Islamic Finance in the Globle Economy, hlm. 1, Edinburgh University Press, Edinburgh, UK.
[2] Lihat seksyen 2, Akta Bank Islam Malaysia 1983
[3] Lihat seksyen 2, Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan Islam 1989 (BAFIA 1989)
[4] Lihat seksyen 124 (5) & (6) BAFIA 1989
[5] Lihat seksyen 3 (5) (b) Akta Bank Islam 1983
[6] Lihat seksyen 124 (3) BAFIA 1989
[7] seksyen 124 (7) BAFIA 1989

[8] Lihat Sudin Harin & Bala Shanmugan, (1997) Islamic Banking System: Conceptr & Applications, Pelanduk
Publication Sdn Bhd, Selangor, hlm 160
[9] BIMB, (1994) Islamic Banking Practice: From the practitioners perspective, Kuala Lumput, hlm 150
[10] Bank Negara, 2007, Resolusi Syariah dalam kewangan Islam, Kuala Lumpur, hlm, 4-8
[11] Lihat Nor Mohamed Yakcop, 1996, Teori dan Prospek Sistem Kewangan Islam, utusan Publication&Distributors
sdn, hlm 70, 75.
[12] Lihat seksyen 11, Akta Bank Islam, 1983