ISTISNA

KIMK Bhd On 1:50 PM

Istisna (minta buat sesuatu benda)
15 Syaaban 1431 HOleh: AKHISALMAN

Definasi:-Dari segi bahasa: Minta buat sesuatu benda.Dari segi istilah feqah: Minta buat dari tukang buat untuk membuat sesuatu benda yang ditentukan dengan cara yang ditentukan.contohnya membuat barang keperluan rumah, pakaian, kenderaan, senjata dan lain2.Perbezaan akad ini dgn akad salam (tempahan).1. Akad ini tidak mewajibkan mendahulukan bayaran harga barang yang dipesan. Adapun tempahan (salam) hukumnya wajib serah semua bayaran semasa menempah.2. Akad ini tidak wajib disebut tempoh pembuatan dan masa penyerahan.Perbezaannya dgn upah adalah akad istisna ini pembuatnya menyediakan bahan daripada wangnya.Ulama2 mazhab Hanafi berpendapat bahwa akad ini adalah menjual barang yang dibuat bukannya menjual kerja2 pembuat.

Pensyariatannya

Ulama2 mazhab Hanafi mengharuskan urus niaga ini kerana 'uruf dan keperluan pada urus niaga ini.Ulama2 lain mengharuskan ini sekiranya mengikut syarat2 salam (tempahan) termasuklah perlu serah bayaran keseluruhan semasa dalam majlis akad.

Pendapat ini disokong dengan perbuatan Nabi s.a.w yang memesan cincin.

Syarat-syarat istisna':-

1. Hendaklah disebut jenis, kadar dan sifat barang yg ditempah.
2. Benda yang dibuat hendaklah perkara yang biasa ditempah dan dipesan oleh manusia.
3. Tidak disebut masa serahan.

Tetapi abi Yusuf dan Muhammad (kedua2nya anak murid imam Abu Hanifah) tidak mensyaratkan syarat ke3 ini. Pendapat ini lebih praktikal.

Hukum akad Istisna'

Apabila berlangsungnya akad ini maka penempah berhak mendapat barang dari pembuat dan pembuat berhak mendapatkan wang bayaran. keduanya adalah dalam tanggungan (hutang).

Akad ini tidak lazim (boleh batalkan) melainkan setelah penempah melihat barang (seperti yg dipesan) dan pembuat melihat wang bayaran. kalau dilihat maka akad menjadi lazim (tidak boleh dibatalkan).

Kesimpulan: Akad ini dibenarkan dalam mazhab Hanafi kerna untuk memudahkan manusia kerna kebiasaannya kita memesan barang tanpa diserahkan bayaran.
Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM
(Dipetik dari : http://idhamlim.blogspot.com/2010/07/istisna-minta-buat-sesuatu-benda.html)

Salur segera bantuan kemanusiaan Rohingya di Kutulapong

KIMK Bhd On 5:53 PM

Salur segera bantuan kemanusiaan Rohingya di Kutulapong
14 Syaaban 1431 H
Oleh: Nuruddin Muhammad

Keadaan umat islam Rohingya yang berada di Kutupalong Bangladesh kini amat menyedihkan apabila khemah-khemah dan pondok-pondok tempat mereka berlondung kini musnah dilanda banjir dan ribut teruk. Citizen International dan SHURA kini mengambil inisiatif untuk mengumpul dana untuk membantu 11000 keluarga di sana.

Kini mereka memerlukan bantuan sebanayak RM100 untuk kegunaan sebuah keluarga dan mampu menanggung kos kebajikan dan kehidupan selama 3 bulan.Banjir dan ribut yang melanda berlaku selama beberapa jam sebanyak 24.2 sentimeter (9.5 inci) dan melanda di banyak tempat di bangladesh.

Kawasa yang paling buruk dilanda ribut ini adalah di Teknaf yang meletakkan kem-kem pelarian Kutupalong.

Bangladesh mengiktiraf seramai 28,000 Rohingya sebagai pelarian yang berdaftar dan mereka ini menerima bantuan secara rasmi di kem-kem UN di Kutupalong. Bilangan ini hanyalah pecahan daripada jumlah besar300,000 orang pelarian yang tidak diiktiraf berdasarkan anggaran kerajaan Bangladesh.

Di Bangladesh ketika ini ada persamaan dengan kes di Gaza iaitu segala bahan bantuan disekat masuk. Kaum Rohingya merupakan populasi muslim terbesar, sekitar 3.5 juta orang di Myanmar yang kebanyakannya tinggal di Rakhine, salah sebuah negeri di Myanmar yang berkongsi sempadan dengan Bangladesh.

Mereka menjadi pelarian di Bangladesh, Pakistan, Thailand, Malaysia dan negara lain sejak lebih 50 tahun dahulu akibat penindasan dan penganiayaan pemerintahan Burma dan penganut Buddha ke atas mereka.

Di Kutupalong, 185 batu (296 kilometer) selatan Dhaka, kini direkodkan Rohingya tinggal di pondok-pondok buruk, di mana mereka mengalami kekurangan gizi, anak-anak hanya berkaki ayam serta membuang najis di merata-rata tempat.

Manakala di Kem pelarian Kutupalong UN pula ia dilengkapi dengan kemudahan perubatan, pusat pembelajaran komputer, gelanggang bola tampar dan janakuasa elektrik.

Namun, nasib malang yang menimpa lebih 200,000 Rohingya yang hingga kini tidak diberi status pelarian oleh Bangladesh dan hidup di bawah ancaman. Mereka seringkali akan ditangkap atau dihantar kembali ke Myanmar. Sebahagian bekerja sebagai buruh harian atau penarik beca di Cox's Bazar.

Bangladesh hanya bersedia untuk bekerjasama dengan PBB untuk memberikan akses dan perlindungan terhadap 28.000 pelarian Rohingya di kedua-dua kem rasmi.

Namun pemimpin Bangladesh menolak untuk membincangkan tentang baki yang terpaksa tinggal di Bangladesh secara haram.

Bangladesh adalah antara negara yang tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokolnya pada 1967. Hal ini sama dengan kerajaan Malaysia. Namun keadaan Rohingya di Malaysia jauh lebih selesa berbanding dengan keadaan mereka di Bangladesh.

Pelarian Rohingya tidak inginkan kemewahan seumpama di Malaysia. Mereka hanya inginkan tempat untuk tinggal sementara, bercucuk tanam dan membesarkan anak mereka jauh dari kekejaman Junta Komunis Burma. Malangnya, bukan sekadar mereka diusir dari Bangladesh, malah terdapat banyak kes rogol, pencabulan, pukul dan bunuh yang dilakukan oleh penguatkuasa Bangladesh yang mengambil kesempatan terhadap umat Islam seaqidah dengan mereka!

Pada awal Mac 2007 kerajaan Bangladesh pernah menghancurkan sebahagian besar tempat perlindungan pelarian yang disebut "Tal" yang menempatkan lebih dari 6,000 pelarian Rohingya di Teknaf, selatan Cox's Bazaar, berhampiran sempadan dengan Burma. Tidak ada tempat penampungan alternatif yang disediakan bagi insan-insan yang malang ini. Kini dilaporkan sebahagian besar mereka hanya tidur seperti kucing kurap di bawah cuaca panas mahpun hujan tanpa bumbung untuk perlindungan asasi!

Salahlaku yang dilakukan oleh badan-badan penguatkuasaan undang-undang Bangladesh dilaporkan tersebar luas di dalam dan sekitar kem pelarian Rohingya, termasuk laporan penderaan seksual terhadap perempuan.

Pihak berkuasa Bangladesh kini juga menolak untuk membenarkan pembinaan bangunan kekal yang akan dibina di kem-kem kerana ingin mendorong para pelarian untuk kembali ke Myanmar.

Citizen International melalui Koordinator kempen kemanusiaan Rohingya iaitu Cikgu Azmi hamid kini giat mengumpul dana untuk menyediakan khemah dan bantuan asasi kepada 11000 keluarga di sana dan dijangka mampu disalurkan sebelum Ramadhan tahun ini.

Perlu ditegaskan bahawa United Nation hanya memberi tumpuan kepada Rohingya yang berdaftar sahaja, bukan kepada kesemua pelarian yang ditakrifkan oleh Konvensyen Pelarian 1951.

Kepada mereka yang berminat untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan ini boleh berbuat demikian melalui akaun Teras iaitu BIMB 02020010021351. Atau hubungi 019 4744856 (Cikgu Azmi Hamid).

(dipetik dari http://idhamlim.blogspot.com/)

NOTA : Tuan/puan juga boleh membantu mereka sambil melakukan ibadah samada Qurban, Aqiqah, nazar mahupun sedeqah khususnya disempena bulan Ramadhan yang akan hadir tidak lama lagi dengan menghubungi pihak koperasi. Harga bagi seekor kambing hanya RM 300.00 sahaja.
Wassalam.

Puan Nor Azlina binti Jhaffar : Temankerja baru KIMK Bhd.

KIMK Bhd On 9:19 AM


Kita mengucapkan Ahlan wa sahlan kepada Puan Nor Azlina binti Jhaffar yang kini telah menjadi temankerja kepada Koperasi kita. Beliau yang berasal dari Pahang mula bertugas pada 1 Julai yang lalu bagi menggantikan Cik Yusnizah yang telah meletakkan jawatan. Beliau adalah isteri kepada Encik Nasarudin Amin yang berasal dari Kampar. Mereka dikurniakan 2 orang anak dan kini menetap di Kg. Rapat Jaya.

Puan Nor Azlina akan melakukan kerja-kerja perkeranian untuk Koperasi, ini termasuklah dalam urusan kutipan yuran syer dan sebagainya.

Diharap semua anggota dapat memberikan sokongan kepada beliau dalam menjalankan tugasnya. Diharap beliau akan kekal bertugas dengan koperasi dan bersama-sama mengecap kejayaan dengan kita.

SELAMAT BERTUGAS DAN BERJAYA.
Wassalam.

KERTAS KERJA PEMATUHAN SYARIAH (2) - SISTEM KEWANGAN ISLAM

KIMK Bhd On 2:22 PM

Dipaparkan di sini kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar di atas untuk rujukan para anggota dan pembaca

SISTEM KEWANGAN ISLAM : PERKEMBANGAN DAN PENGAWASAN SYARIAH
Dr. Abdul Halim El-Muhammady

1. Pendahuluan

Kertas kerja ini membimbincangkan dua aspek iaitu perkembangan industry kewangan Islam secara sepintas lalu diperingkat dalam Negara dan luar Negara diikuti perbincangan tentang pengawasan syariah yang lebih terperinci meliputi kepentingannya, peruntukan undang-undang, method penelitian dan penguatkuasaan undang-undang

2. Perkembangan industri kewangan Islam

Perbankan Islam dari sudut teori dan praktisnya sebagaimana yang diamalkan sekarang adalah suatu yang baru dalam masyarakat Islam dan bukan Islam walaupun asas pemikirannya telah lama wujud dalam agama Islam itu sendiri. Apa yang berlaku dalam amalan perbankan didunia Islam bagi menyusun pengurusan kewanagan bagi negara-negara yang dijajah maka diwujudkanlah Bank oleh kuasa penjajah; di Malaysia bank diperkenalkan oleh penjajah British, maka sudah tentulah amalannya berasaskan riba dan perundangannya berasaskan Common Law, undang-undang British.

Apabila Negara Islam mencapai kemerdekaan maka timbul kesedaran untuk mewujudkan bank yang segala urusannya tidak berlawanan denagn prinsip-prinsip muamalah Islam. Maka bermula dari tahun enam puluhan timbullah perbincangan awal tentang perbankan Islam, dan pada tahun tujuh puluhan ada beberapa percubaan dibuat untuk menubuhkan Bank Islam, dan pada tahun lapan puluhan dan sembilan puluhan penubuhan Bank Islam mula berkembang, dan di Malaysia dimulai dengan penubuhan Lembaga Tabung Haji bagi mengumpul dana orang-orang Islam untuk membiayai diri mereka menunaikan haji disamping simpanan yang dapat dilaburkan untuk mendapat keuntungan, kemudian tahun 1983, Bank Islam diwujudkan iaitu bank yang urusannya tidak ada unsur-unsur yang berlawanan dengan ajaran Islam, apabila Akta Bank Islam 1983 dikuatkuasakan diikuti dengan penubuhan Takaful 1984, dan seterusnya penubuhan pasaran modal Islam. Maka dengan adanya tiga institusi ini lengkaplah prasarana kewangan Islam di Malaysia.
Diperingkat global, institusi kewangan Islam memainkan peranan yang besar dalam perkembangan ekonomi dimana kita dapati eset perbankan Islam agak besar; Iran menyumbang sebanyak $345 billion dollar, Saudi Arabia $258 billion, Malaysia $142 billion, Kuwait $128 billion dan United Arab Emirate sebanyak $112 billion dolar. Selain dari itu negara-negara bukan Islam juga ada menyumbang kepada perkembangan perbankan Islam seperti United Kingdom, Singapore, Australia, France dan Korea Selatan. Selain dari itu kelahiran bond Islam sejak tahun 2002, melonjakkan lagi kegiatan kewangan Islam. Dalam masa enam tahun perkembangannya telah mencecah nilai sebanyak $100 billion dolar[1]. Ini semua menggambarkan betapa pesatnya perkembangan sistem kewangan Islam yang telah diterima oleh masyarakat Islam dan bukan Islam dan ia telah memasuki arus perdana dalam kegiatan kewangan dan ekonomi dunia.

3. Keperluan pengawasan dan penyeliaan Syariah

Bank Islam sebagai sebuah institusi kewangan perdagangan yang operasinya berteraskan perinsip-prinsip Islam maka sudah tentulah ia mesti diawasi oleh suatu badan yang diberi kuasa untuk memantau perjalanan dan pengawasannya, bermula dari penentuan jenis produk, pengeluarannya dan operasinya, serta ketentuan prinsip-prinsip syariah yang digunapakai terhadap sesuatu produk. Ini berarti pengawasan Syariah ialah sebuah lembaga/ jawatankuasa yang ditubuhkan berdasarkan undang-undang khas untuk meniliti dan mengawasi operasi perbankan Islam yang mana lembaga/ jawatankuasa sebegini tidak ada dalam perbankan konvensional kerana tiada keperluannya. Mengikut peruntukan Akta Bank Islam 1983 dengan jelas menyebut tentang keperluan lembaga/ jawatankuasa syariah ini untuk perbankan Islam.

Keperluan lembaga/ jawatankuasa ini penting untuk memastikan produk-produk perbankan Islam tidak berlawanan dengan prinsip-prinsip syariah Islam, dan perlaksanaan dalam pemasaran produk dan segala dokumen yang berkaitan memenuhi keperluan syariah, demi untuk meyakinkan pengguna terhadap kedudukan perbankan Islam itu dari sudut hukumnya dan juga harapan keberkatan dari operasinya dengan mengikut lunas-lunas syara dalam segala aspeknya. Ini bermakna melalui pengawasan ini dapat dipastikan setiap produk yang ditawarkan dipasaran menepati prinsip syariah Islam, operasinya juga berasaskan nilai-nilai Islam dan setiap dokumen yang berkaitan dengan produk disediakan bertepatan dengan prinsip syariah Islam; meliputi jenis kontrak dan segala peristilahan yang digunakan berkaitan dengan produk dan tidak berlaku percanggahan dengan prinsip-prinsip syariah.

Ia suatu yang penting kerana kedudukan bank sebagai sebuah institusi kewangan yang beridentitikan Islam secara jelas mestilah ia dilihat lebih baik dari bank konvensional dan komitmennya dengan hukum Syara’ dari sudut teori dan praktisnya jelas terserlah, disamping peraturan-peraturan lain yang standard yang digunapakai oleh semua Bank kerana objektif bank Islam bukan sahaja mengumpul dana dan mengembangkannya tetapi ia juga mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu orang miskin dan membuat kebajikan yang lain untuk kepentingan masyarakat seperti aspek pendidikan dan sebagainya.

Selain dari itu memandangkan perbankan Islam ini sesuatu yang baru, kebanyakan mereka yang terlibat dalam institusi perbankan Islam adalah dari golongan profesional yang biasa berpengalaman dengan perbankan konvensional dan kurang terdedah dengan prinsip-prinsip muamlah, syariah dan nilai-nilai budaya kerja yang bersifat keislaman maka sudah tentulah memerlukan bimbingan dari golongan yang faham dengan syariah Islam dan adab-adabnya disamping golongan yang mahir dalam bidang syariah ini juga memerlukan pengetahuan dan bimbingan dari golongan profesional dalam perkara-perkara yang melibatkan pembentukan produk dan operasinya. Maka melalui gabungan dua kemahiran syariah dan pengurusan profesional dapat mempercepatkan proses kematangan perjalanan perbankan Islam dari sudut teori dan praktisnya dan dengan harapan ianya akan menjadi lebih baik dari perbankan konvensional dengan adanya nilai tambah melalui prinsip-prinsip Islam yang lebih adil.

4. Peruntukan undang-undang tentang perbankan Islam

Di Malaysia, sebarang institusi yang ingin diwujudkan mestilah berasaskan undang-undang, maka untuk menubuhkan bank Islam yang sifatnya lain dari bank-bank yang sedia ada maka ia memerlukan suatu undang-undang yang khusus, bagi tujuan ini maka Akta Bank Islam digubal iaitu Akta Bank Islam 1983 yang mengandungi didalamnya sebanyak 60 peruntukan undang-undang dibawah lapan bab dan berkuatkuasa pada tahun 1983.

Bagi menentukan Bank Islam ini beridentitikan sebuah institusi kewangan Islam, maka ditakrifkan Bank Islam sebagai, “Sesuatu syarikat yang menjalankan perniagaan bank Islam dan memegang sesuatu lesen sah; dan semua pejabat dan cawangan bank itu di Malaysia hendaklah disifatkan sebagai satu bank[2]”. Manakala perniagaan Bank Islam pula dimaksudkan perniagaan bank yang tujuan dan pengendaliannya tidak melibatkan apa-apa elemen yang tidak diluluskan oleh agama Islam. Ini bermakna perniagaan dari sudut operasi dan matlamatnya berdasarkan prinsip-prinsip Islam.

Peruntukan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan Islam 1989 (BAFIA) menjelaskan lagi tentang pengertian perniagaan Bank Islam iaitu “Perniagaan yang menerima deposit akaun semasa, akaun deposit, akaun simpanan, atau akaun lain yang serupa itu; membayar atau memungut cek-cek yang dikeluarkan atau dibayar oleh pelanggan-pelanggan dan menyediakan pembiayaan; atau apa-apa perniagaan lain sebagaimana yang ditetapkan oleh Bank dengan kelulusan Menteri[3]”.

Melalui dua peruntukan ini menunjukkan bahawa perniagaan Bank Islam ini adalah berdasarkan prinsip Islam mengikut ABI, seksyen 2, manakala jenis-jenis produknya diperincikan oleh seksyen 2 BAFIA. Ini berarti peniagaan Bank Islam jenis perkhidmatan yang diberikan tidak ada bezanya dengan perbankan konvensional kecuali perbankan Islam terikat dengan prinsip-prinsip syariah atau tidak melibatkan unsur-unsur yang berlawanan dengan ajaran Islam.

Bagi meluaskan lagi skop operasi perbankan Islam, maka pada tahun 1993, Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA 1989) telah mengeluarkan suatu garis panduan “skim perbankan tanpa faedah” yang kemudian dikenali sebagai skim perbankan Islam untuk digunapakai oleh Bank-Bank konvensional. Penggubalan SPI ini berdasarkan garis panduan daripada Bank Negara Malaysia, tertakluk pada seksyen 126 Akta Bank Negara dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang dikuatkuasakan pada 5 Julai, 1993. Berdasarkan garis panduan ini bank-bank konvensional boleh memberikan perkhidmatan dan menawarkan produk-produk yang ditawarkan oleh perbankan Islam.

Peruntukan seksyen 124 Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 ini tidak terpakai keatas institusi kewangan Islam, demikian juga Akta Bank Islam 1983, tidak terpakai keatas institusi perbankan konvensional yang memberi perkhidmatan produk-produk perbankan Islam[4].

Peruntukan undang-undang diatas menjelaskan tentang perundangan yang diperlukan untuk menubuhkan perbankan Islam, mewujudkan system perbankan Islam di bank-bank konvensional, serta operasi dan ruang lingkup perkhidmatannya yang tidak ada unsur-unsur yang berlawanan dengan prinsip-prinsip syariah.

5. Peruntukan undang-undang tentang penubuhan jawatankuasa Syariah

Seksyen 3 (5) (b) Akta Bank Islam 1983 memperuntukkan bahawa antara syarat yang diperluakn untuk penubuhan Bank Islam ialah mewujudkan sebuah badan penasihat Syariah untuk menasihat Bank tentang pengendalian perniagaan Bank bagi menjamin ianya tidak terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang tidak diluluskan oleh agama Islam[5].

Perkara yang sama diperuntukkan dalam BAFIA seksyen 124 (3) iaitu “mana-mana Institusi berlesen yang menjalankan perniagaan bank Islam atau perniagaan kewangan Islam, sebagai tembahan kepada perniagaan berlesennya yang sedia ada boleh dari semasa ke semasa meminta nasihat Majlis penasihat Syariah yang ditubuhkan dibawah seksyen (3) mengenai pengendalian perniagaannya untuk memastikan bahawa ia tidak melibatkan mana-mana elemen yang tidak dibenarkan oleh agama Islam”[6]. Bagi manambah jelas lagi peruntukan ini maka diperuntukkan pula seksyen 124 (7), “Hendaklah ditubuhkan satu Majlis Penasihat Syariah yang terdiri dari mana-mana ahli dan mempunyai apa-apa fungsi, kuasa dan juga sebagaimana yang ditetapkan oleh Bank untuk menasihatkan bank itu tentang Syariah berkaitan dengan perniagaan bank Islam atau perniagaan kewangan Islam”[7].
Berdasarkan peruntukan undang-undang diatas yang terdapat dalam ABI 1983, dan dalam Akta BAFIA 1989, menunjukkan bahawa penubuhan Majlis Penasihat Syariah suatu yang mesti dilakukan oleh bank yang ingin menjalankan kegiatan perniagaannya berdasarkan syariah. Majlis ini dianggotai oleh orang-orang yang mempunyai kelayakan dalam bidang Syariah dan mu’amalah yang fungsinya memberi nasihat kepada bank tentang perkara syariah dalam perniagaan bank.

Bagi memenuhi peruntukan-peruntukan undang-undang diatas maka majlis syariah adalah bertanggungjawab untuk memastikan bahawa; pertama, perkhidmatan dan kemudahan yang diberikan oleh Bank Islam bertepatan dengan Syariah. Kedua, projek dan pelaburan disalurkan kepada urusniaga yang dibenarkan syariah. Ketiga, urusan perbankan secara umumnya dijalan dan diurus mengikut prinsip-prinsip syariah[8]. Ia sebuah badan yang dibentuk dibawah autoriti Bank Negara yang bertujuan untuk memerhati apakah bank-bank Islam dalam operasinya patuh kepada peraturan-peraturan Syariah[9]. Majlis Penasihat ini terdapat dua peringkat; peringkat pusat iaitu Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, peringkat kedua Jawatankuasa Syariah dibank.

6. Method Penelitian dan Pengawasan Majlis Penasihat Syariah Peringkat Bank Negara dan Peringkat Bank-Bank

Majlis penasihat Syariah Bank Negara, berdasarkan pengalaman penulis berada beberapa tahun di Bank Negara sebagai ahli Majlis apa yang berlaku setiap produk yang akan dibiincangkan ada kertas kerja awal yang disediakan oleh pihak pengurusan, atau pihak industri selepas diteliti oleh Bahagian Perbankan Islam dan Takaful Bank Negara. Apabila ia dibentangkan penilitian dibuat dari aspek sumber sandaran hukum, pandangan fuqaha dari berbagai Mazhab yang muktabar. Pandangan semasa fuqaha dan kemungkinan pelaksanaan serta kesannya kepada ekonomi Negara dan masyarakat. Selepas semua elemen-elemen diatas dirasakan mencukupi maka keputusan dibuat. Kemungkinan keputusan dapat dibuat dengan sekali mesyuarat, kemungkinan dua atau tiga kali mesyuarat. Ini proses berkaitan dengan penerimaan atau penolakan produk. Jika produk itu diterima maka dari sudut operasinya diawasi oleh pihak Bank Negara bagi memastikan operasinya menepati prinsip-prinsip Syariah.

Selain dari itu penulis juga terlibat dalam jawatankuasa Syariah di peringkat Bank. Proses awal tidak banyak berbeza dengan Bank Negara, dari sudut penyediaan kertas kerja awal untuk dibincangkan yang disediakan oleh bahagian produk. Oleh sebab diperingkat bank masih kurang pegawai yang mahir dalam bidang syariah yang mempunyai keupayaan akademik yang tinggi dalam bidang ini maka kertas kerja yang disediakan itu perlu kepada penelitian yang lebih dari jawatankuasa Syariah, dan kemungkinan memerlukan mesyuarat berulangkali untuk meluluskannya, kemungkinan kurangnya sandaran dan hujjah yang dapat menyokong produk yang dikemukakan jika ia belum ada dipasaran samada didalam atau diluar negara. Dalam konteks operasinya jika diteliti mungkin berlaku kesilapan urutan kontrak antara tawaran dan penerimaan, kesilapan-kesilapan istilah yang tidak seragam tentang kenyataan antara keuntungan dan interest yang menjadi amalan dalam konvensional masih terbawa-bawa dalam dokumen perbankan Islam, kedudukan pembeli sebgai wakil bank pada kontrak murabahah dan sebagainya.

Kesilapan-kesilapan diperingkat operasi ini boleh berlaku dalam dua tahap; tahap dalaman bank itu sendiri ketika membuat tawaran produk dari sudut cara kontrak diadakan antara bank dengan pelanggan dari jenis berbagai kontrak yang ditawar. Kedua tahap luaran iaitu peringkat penyediaan dokumen untuk menyediakan jenis kontrak dan istilah-istilah, syarat-syarat yang dimasukkan supaya ianya selari dengan jenis kontrak yang diadakan.

Berdasarkan pengalaman penulis yang terhad, maka dirasakan untuk menyempurnakan proses produk perbankan Islam itu telus dari sudut operasinya dan untuk lebih berkesan lagi jawatankuasa penasihat syariah perlu meneliti ketiga-tiga perkara yang terlibat dalam operasi perbankan Islam; pembentukan produk, peringkat pemasaran dan operasi dan peringkat penyediaan dokumennya. Kalau ini dapat dilakukan maka bank Islam akan menjadi lebih telus, lebih efesion dan lebih tepat dengan kehendak syariah.


7. Sumber dan Asas Penelitian dan Pengawasan Syariah

Selain daripada peruntukan undang-undang tentang perbankan Islam, dan pembentuk majlis penasihat syariah, maka disana terdapat beberapa sumber dan asas bagi penelitian dan pengawasan syariah pada perbankan Islam.
Sumber-sumber hukum yang dijadikan asas kepada penentuan hukum pada operasi perbankan Islam sama ada peringkat pembentukan produk-produk dan operasi keseluruhan mestilah berasaskan Qur’an dan Sunnah sebagai sumber utama, kemudian diikuti pula sumber-sumber tambahan sebagai asas ijtihad iaitu Qiyas, Ijma, Maslahah, Istihsan, Istishab, Sadd al-Zaqa‛i, Urf, Maqasid Syariah, Takwil, Istiqra dan Siasah Syar’iyyah.[10]
Berdasarkan sumber-sumber utama dan sumber-sumber tambahan yang menjadi asas dalam menentukan jenis-jenis prinsip Syariah yang digunapakai untuk diterapkan kepada produk-produk perbankan Islam.

Antara produk-produk yang diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara ialah, wadiah, mudharabah, musyarakah, bai bi thaman Ãjil, ijarah, murabahah, al-Qard al-Hasan, kafalah, hiwalah, Rahn, sarf, ujr, murabahah dan bai al-dayn.[11]
Mejlis penasihat syariah dalam menentukan sesuatu produk bank mestilah berasaskan sumber-sumber dan prinsip-prinsip yang diiktiraf oleh Bank Negara, disamping mencari prinsip-prinsip baru melalui ijtihad jika prinsip-prinsip yang sedia ada tidak dapat menampung keperluan semasa sebagai contoh aqd al-Tamyiz (kontrak konsesi) yang terkandung didalamnya prinsip jualbeli dan ijarah.

Selain dari itu dalam menentukan kedudukan hukum dalam perniagaan yang bercampur antara halal dan haram bagi menentukan statusnya sama ada mematuhi syariah atau tidak maka benchmark digunakan 5%, 10% yang haram, sebagai contoh.

8. Penguatkuasaan Undang-Undang untuk mengawal prinsip-prinsip Syariah dalam operasi Bank.

Majlis atau Jawatankuasa Syariah merupakan satu bentuk pengawasan ke arah ketepatan operasi bank dengan prinsip-prinsip Syariah, selain dari itu satu aspek lagi yang lebih berkesan ialah penguatkuasaan undang-undang melalui kuasa Bank Negara bagi mereka yang menyalahi prinsip-prinsip Syariah dalam menjalankan tugas operasi Bank Islam.

Akta Bank Islam 1983 memperuntukkan bahawa Bank Negara Malaysia mempunyai kuasa menyiasat dan mengkaji perjalanan perbankan untuk memastikan tujuan dan matlamat operasi perbankan tidak menyalahi prinsip-prinsip Syariah yang diperuntukkan untuk perbankan dan menyatakan bahawa menteri yang berkaitan mempunyai kuasa dengan nasihat Bank Negara Malaysia membatalkan lesen perniagaan Bank Islam yang gagal menjalankan urusniaga berasaskan prinsip-prinsip Islam yang diterima pakai[12].
Dengan adanya peruntukan ini boleh mengukuhkan lagi kedudukan prinsip-prinsip syariah yang diluluskan oleh majlis penasihat syariah terhadap produk yang disediakan oleh bank dan ia juga dapat membantu operasinya dengan lebih berkesan dan lebih telus.

9. Kesimpulan

Majlis atau Jawatankuasa penasihat Syariah Bank Negara dan bank-bank adalah amat penting begi menentukan ketepatan operasi Bank Islam dengan prinsip-prinsip Syariah yang diterimapakai.
Fungsinya ialah menentukan kesesuaian jenis-jenis produk yang disediakan oleh bank dengan prinsip-pirinsip Syariah. Prinsip Syariah yag diterima untuk sesuatu produk itu mestilah memenuhi tuntutan ciri-cirinya seperti rukun-rukun dan syarat-syaratnya, dan bebas dari cirri-ciri yang boleh membawa kontrak itu terbatal. Prinsip-prinsip yang diterimapakai itu juga harus diambil kira tentang keperluan pasaran dan boleh dilaksanakan. Manakala produk yang diluluskan itu mestilah diawasi operasinya dari sudut cara kontrak diadakan dan penyediaan dokumentasinya agar semua perkara yang berkaitan dengan syariah dipenuhi sepenuhnya.
Kedudukan Majlis atau Jawatankuasa Penasihat Syariah amat penting dalam institusi perbankan kerana mereka merupakan orang yang mencorakkan kedudukan identiti sesebuah bank itu sebagai bank Islam melalui pengawasannya yang menentukan ketepatan prinsip-prinsip syariah digunapakai oleh bank dan jaminan operasinya yang menepati kehendak hukum Syara.

Bagi menentukan produk-produk yang berasaskan syariah beroperasi dengan betul dan telus sebagaimana sepatutnya maka penguatkuasaan undang-undang amat perlu. Bank Negara yang mempunyai kuasa ke atas Bank Islam maka penguatkuasaan undang-undang dalam mengawasi operasi bank amat penting, supaya bank itu beroperasi dengan sebaik-baiknya mengikut hukum syara dan mana-mana institusi yang melanggar prinsip-prinsip syariah maka mestilah dihukum dengan hukuman yang setimpal.Maka dengan gabungan aspek keilmuan syariah kemahiran dan penguatkuasaan undang-undang ini prinsip-prinsip syariah dan operasinya pada bank terjamin dan ia tidak akan terkeluar daripada prinsip-prinsip syariah yang sebena

[1] Ibrahim Warde, (2010), Islamic Finance in the Globle Economy, hlm. 1, Edinburgh University Press, Edinburgh, UK.
[2] Lihat seksyen 2, Akta Bank Islam Malaysia 1983
[3] Lihat seksyen 2, Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan Islam 1989 (BAFIA 1989)
[4] Lihat seksyen 124 (5) & (6) BAFIA 1989
[5] Lihat seksyen 3 (5) (b) Akta Bank Islam 1983
[6] Lihat seksyen 124 (3) BAFIA 1989
[7] seksyen 124 (7) BAFIA 1989

[8] Lihat Sudin Harin & Bala Shanmugan, (1997) Islamic Banking System: Conceptr & Applications, Pelanduk
Publication Sdn Bhd, Selangor, hlm 160
[9] BIMB, (1994) Islamic Banking Practice: From the practitioners perspective, Kuala Lumput, hlm 150
[10] Bank Negara, 2007, Resolusi Syariah dalam kewangan Islam, Kuala Lumpur, hlm, 4-8
[11] Lihat Nor Mohamed Yakcop, 1996, Teori dan Prospek Sistem Kewangan Islam, utusan Publication&Distributors
sdn, hlm 70, 75.
[12] Lihat seksyen 11, Akta Bank Islam, 1983

KERTAS KERJA PEMATUHAN SYARIAH (1) - WAKAF ANGKASA

KIMK Bhd On 2:10 PM

Dipaparkan di sini kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar di atas untuk rujukan para anggota dan pembaca.......


WAKAF ANGKASA (WASA)

Pendahuluan

Wakaf adalah sejenis infaq yang sama dengan infaq sunat lain seperti sedekah jariah, tabarru’ dan khairat. Ia berbeza dengan infaq lain tersebut kerana infaq lain tersebut digunakan terus habis setelah penerima menggunakannya.

Manakala harta yang diwakafkan tidak dibelanjakan oleh penerima sebaliknya kekal diuruskan oleh autoriti atau badan tertentu bagi memastikan ia terus kekal dan memungkinkan manfaatnya (usufruct) digunakan oleh orang tertentu bagi wakaf khas dan masyarakat umum bagi wakaf am.

Harta yang diwakafkan itu menjadi hak milik seluruh umat Islam. Semua infaq tersebut merupakan pinjaman (qardh) yang dipinjam kepada Allah yang dibalas dengan pahala.
Ahli ekonomi, berpendapat pembangunan ekonomi negara disumbangkan oleh tiga sektor berikut iaitu sektor awam(siasi), sektor swasta(tijari) dan sektor koperasi (ta’awuni), tetapi dari perspektif Islam terdapat empat sektor keempat iaitu sektor kebajikan (infaq Ijtima’) yang diberi sebagai tanggungjawab sosial yang tidak dikaitkan dengan keuntungan dan harapan pulangan balik kepada pemberi.

Ia tidak kurang pentingnya dalam memberi sumbangan perkembangan ekonomi negara. Sektor keempat ini adalah bersifat lestari (self sustaining) yang hanya memerlukan pengurusan yang efisien dan cekap.

Sektor keempat ini dalam sistem ekonomi kapitalis dianggap sebagai sumbangan kepada masyarakat yang disebutkan Corporate Sosial Responsibility (CSR) yang disumbangkan hanya jika ada untung kepada pemberi biasanya dikaitkan dengan harapan pulangan balik kepada pemberi setelah pemberian tersebut dalam bentuk marketing atau mendapat nama dari masyarakat atau pemerintah.

Definisi wakaf

Wakaf berasal daripada kata dasar Waqafa yang bermaksud menahan sesuatu harta daripada hilang atau habis digunakan tetapi sebaliknya ia kekal dengan faedahnya (usufruct) sahaja dimanfaatkan.

Wakaf pertama dalam sejarah Islam ialah apabila Saidina Umar Al-Khattab menahan harta rampasan perang Khaibar daripada diberikan kepada pejuang-pejuang perang seperti yang biasa dilakukan sebelumnya. Sebaliknya mengarahkan faedah daripada harta tersebut sahaja yang diagihkan kepada mereka.
Seterusnya wakaf peniaga yang dilakukan oleh Syaidina Uthman B Affan bagi membiayai air minuman di bandar Madinah.

Justeru wakaf lebih berpotensi membangun ekonomi umat berbanding dengan zakat.
Seluruh negara Islam di Timur Tengah mengenai potensi wakaf dengan sepenuhnya di mana ia dijadikan salah satu daripada Kementerian Dalam Negara dengan nama WIZARATUL AUQAF yang ditadbir oleh Menterinya WAZIRUI AUQAF.
Malaysia baru mula melihat potensi ini dengan menubuhkan Jabatan Wakat, Zakat dan Haji (JAWHAR). Sebaliknya Malaysia lebih fokus dalam pungutan zakat dengan menubuhkan Pusat Pungutan Zakat (PPZ). Keadaan ini tidak berlaku di Negara Timur Tengah.

Perbezaan Zakat & Wakaf

Wakaf adalah salah satu cara Islam menggunakan harta individu untuk tujuan pembangunan Ummah selain daripada zakat. Bezanya, zakat merupakan suatu yang wajib ke atas harta yang telah memenuhi syarat yang ditetapkan. Manakala wakaf adalah amalan sunat bagi mereka yang mahu menginfakkan hartanya kepada masyarakat umum semata-mata kerana mengharapkan ganjaran daripada Allah S.W.T . ia lebih fleksibel berbanding dengan zakat di mana ia tidak terhad kepada Muslim sahaja dan tidak terhad di kawasan tertentu. Wakaf juga tidak terbatas kepada asnaf yang lapan setelah cukup nisab dan haul serta kadar tertentu.

Sejarah Perkembangan Wakaf

Sejarah mencatatkan bahawa wakaf telah membangunkan ekonomi ummah dengan jayanya. Contohnya di Mesir Wakaf Azhar bukan sahaja berjaya membiayai sistem pendidikan Islam dan bidang pendidikan yang lain seperti kedoktoran di Universiti Al-Azhar secara percuma kepada umat Islam di seluruh dunia, bahkan pernah wangnya dipinjamkan kepada kerajaan Mesir untuk menampung perbelanjaan pentadbiran negara.

Tidak kurang juga di Malaysia di mana wakaf berjaya mempertahankan harta orang Islam di bandar-bandar besar seperti Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Di samping wakaf sekolah Agama Rakyat yang banyak di seluruh negara.

Zaman Khalifah Uthmaniyyah telah menunjukkan puncak pencapaian wakaf yang berjaya membiayai sejak dari bayi hingga mati dengan catatan bahawa “Seseorang itu dilahirkan dalam rumah yang diwakafkan, tidur dalam buaian yang diwakafkan, membaca buku-buku yang diwakafkan, mengajar dalam sekolah yang diwakafkan, menerima gaji pentadbiran Wakaf, dan akhirnya bila ia mati kelak, urusan jenazahnya adalah atas pentadbiran Wakaf dan dikuburkan dalam tanah perkuburan Wakaf.”

Istanbul, dalam tahun 1576, telah menubuhkan Institut Wakaf bagi memberi perkhidmatan awam. Bagi memastikan institusi ini berfungsi secara berterusan, maka harta-harta peribadi telah juga diwakafkan. Melalui Wakaf, harta-harta peribadi ini akhirnya melahirkan ribuan perkampungan, ratusan pekan/bandar, jalan-jalan yang menghubungi bandar-bandar, jambatan-jambatan dan sebagainya.

Kajian menunjukkan tiga perempat tanah “Empire Ottoman” adalah tanah Wakaf; setengah tanah pertanian Algeria adalah Wakaf; sepertiga tanah Tunisia adalah Wakaf, dan seperlapan tanah pertanian Mesir adalah Wakaf. Selain Wakaf harta tetap, wakaf tunai juga mendapat sambutan yang hebat.

Senario di atas menggambarkan keadaan atau suasana di mana masyarakat berlumba-lumba untuk membuat Amal Jariah seperti kemudahan kesihatan, kemudahan awam, kemudahan pendidikan, kemudahan ibadat khusus dan lain-lain kemudahan untuk kepentingan awam.
Baiknya ialah semua kemudahan di atas dibangunkan, diselenggarakan dan dikembangkan berasaskan konsep Wakaf dan ia bersifat lestari (self sustaining). Besarnya harta-harta wakaf tersebut sehingga wujud keperluan kepada kementerian yang khusus bagi menguruskan harta wakaf.

Wakaf Koperasi anjuran ANGKASA (WASA)

Wakaf koperasi merupakan salah satu kaedah bagi membangunkan ekonomi anggota koperasi khasnya dan ekonomi negara amnya. Ia diyakini mampu memiliki aset atau bangunan perniagaan koperasi di tengah bandar di seluruh negara seiring dengan pihak swasta bagi membantu anggotanya berniaga, di samping perkhidmatan lain kepada anggota seperti perkhidmatan kesihatan, pelajaran, perhotelan pengangkutan dan pelancongan.
ANGKASA mempunyai kekuatan (strength) dalam mewujudkan wakaf koperasi memandangkan kedudukannya seperti berikut:
a) Ahli koperasi ANGKASA sehingga Jun 2010 berjumlah 4,031 buah koperasi dan anggota individu nya berjumlah 5,053,738 orang.
b) Mempunyai sistem potongan gaji ANGKASA bagi kakitangan kerajaan yang mahu mewakafkan secara bulanan.
c) Kredibiliti ANGKASA yang menguruskan wang potongan gaji melebihi 8 billion setahun dan tidak pernah berlakunya penyelewengan. Keadaan ini lebih meyakinkan semua pihak terhadap pengurusan wakaf koperasi.
d) Sifat orang Melayu Muslim (MM) yang suka melakukan infaq lebih-lebih lagi wakaf. Sifat MM ini diiktiraf oleh kebanyakan orang terutama sekali di Mekah.
e) Wakaf merupakan amal jariah yang dijamin pahalanya selagi wakaf itu dimanfaatkan oleh orang lain. Ia adalah di antara tiga amalan yang ganjaran pahalanya sampai kepada seseorang sekalipun setelah mati, di samping ilmu pengetahuan yang disumbangkan dan anak soleh yang berdoa untuknya.

Sumber Wakaf ANGKASA

Wakaf ANGKASA terbuka kepada semua koperasi dan anggota koperasi tanpa mengira agama yang dianuti. Justeru ia sejajar dengan polisi satu Malaysia. Berikut adalah program yang akan dilakukan oleh ANGKASA bagi mengumpulkan dana wakaf tersebut.
a) Sumbangan minimum RM1.00 seorang ahli anggota koperasi yang mengguna perkhidmatan potongan gaji ANGKASA. Sekarang terdapat 2.8 juta akaun.
b) Perpindahan wang dari tabung koperasi yang sudah ditutup kerana tidak aktif. Dormant Co-operative ini banyak wangnya yang disimpan di Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
c) Wang yang tidak dituntut oleh anggota koperasi yang tidak aktif boleh dipindah kepada wakaf koperasi setelah anggota koperasi tersebut memberi keizinan dari awal semasa menyertai koperasi, sebelum sampai unclaim money time.
d) Wakaf korporat koperasi (Co-operative Corporate) yang mewakafkan keuntungannya sahaja pada setiap tahun. Ini bertujuan bagi memenuhi Co-operative Social Responsibility (CSR) yang sumbangannya diberi atas dorongan tanggungjawab sosial dan ia diperuntukkan sebagai satu daripada aktiviti yang lazim sesebuah koperasi bagi memenuhi prinsip koperasi yang ke tujuh iaitu social responsibility.
Co-operative Social Responsibility (CSR) menepati infaq Ijtima’ (IQI) yang menjadi tanggungjawab seseorang Muslim kepada masyarakat. Infaq Ijtima’ (IQI)harus digunakan bagi menggalakkan kekeliruan di antara Co-operative Social Responsibility (CSR)dalam koperasi dengan Corporate Social Responsibility (CSR) pihak swasta yang diberi jika ada keuntungan dan diberi dengan dikaitkan pulangan tidak langsung kepada pemberi, atau dengan kata lain pemberian yang bersyarat dan kurang keikhlasan.
e) Unit wakaf tunai dengan satu unit RM50. Diberi untuk mereka yang tersayang yang telah meninggal atau untuk diri sendiri.

Sumbangan Wakaf Koperasi

Faedah atau manfaat daripada wakaf koperasi boleh di kecapi oleh semua anggota koperasi mengikut aktiviti yang dianjurkan oleh wakaf koperasi itu sendiri. Dicadangkan wakaf koperasi melakukan aktiviti berikut.

· Mewujudkan pusat perniagaan koperasi di tengah-tengah bandar bagi tujuan koperasi memasarkan produk masing-masing. Pusat perniagaan tersebut diurus oleh wakaf koperasi dengan mengenakan sewaan nominal bagi tujuan untuk perbelanjaan pengurusan bangunan tersebut.
· Memberi bantuan pendidikan kepada warga koperasi untuk melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara.
· Membeli tanah atau membangun aset koperasi dan bukan koperasi yang strategik di bandar-bandar dan membangunkannya untuk kepentingan warga koperasi dan MM keseluruhannya.

Bangunan disewakan kepada masyarakat dengan kadar sewaan yang berpatutan. Dengan demikian ia menstabilkan kadar sewaan yang selalunya tinggi berlebihan yang biasa dilakukan swasta bagi mendapat keuntungan yang besar. Bahkan dalam konteks Malaysia yang masyarakatnya berbilang kaum dan Agama, maka wakaf harus ditingkatkan pelaksanaan demi memelihara harta MM kekal di tempat-tempat strategik.

Syeikh Abu Zuhrah menyebutkan bahawa banyak pemerintah (rulers) dan orang kaya menggunakan wakaf bagi memelihara harta mereka terselamat daripada di ambil atau dirampas oleh pemerintah yang mendapat kuasa. Beliau juga menyebutkan tidak ada disebut di mana-mana tulisan atau fatwa yang menyebutkan pengwakaf melantik kerajaan sebagai pengurus bagi mengurus wakafnya.

Atas faktor siasah syariyyah pentadbiran wakaf perlu ditadbir oleh satu badan khusus yang dihentak oleh kerajaan bagi tujuan pemeliharaan harta wakaf tersebut dan pengembangannya.

· Di samping itu ia dapat memenuhi target pemilikan harta orang-orang MM di bandar dengan kadar pencapaian 30 % kuota.
· Membina pusat old folk home bagi orang tua tanpa mengira agama dengan dilengkapi perkhidmatan kesihatan dan masjid dilengkapi dan pusat pengajian. Ia akan dikenakan pembayaran yang minima.
Mewujudkan rumah rehat koperasi (Co-operative Rest House) di seluruh negara bagi tujuan kegunaan anggota koperasi keseluruhannya, termasuk pembinaan resort, home stay, hotel dan lain-lain. Ia juga akan dikenakan bayaran yang minima.

Majlis Agama Islam Negeri Pemegang Amanah Wakaf

Wakaf dan zakat ditadbir oleh Majlis Agama Islam Negeri dan Sultan sebagai Ketua Agama seperti yang disenaraikan di bawah state list di dalam perlembagaan Malaysia. Justeru urusan wakaf dan zakat setiap negeri di tentukan oleh Majlis Agama Islam masing-masing dari segi pengutipan dan pengagihan zakat; dan pemeliharaan dan perkembangan serta penggunaan wakaf.

Beberapa usaha telah dilakukan oleh Majlis Agama Islam negeri bagi memajukan pengembangan wakaf negeri masing-masing. Di antaranya melancarkan wakaf kaki, wakaf ela dan yang terkini saham wakaf atau wakaf tunai.

Kerajaan pusat telah menubuhkan Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) bagi membantu pengembangan harta wakaf setiap negeri dengan dana sebanyak 200 juta yang telah diberi oleh kerajaan pusat.

Sebuah yayasan wakaf kebangsaan telah ditubuhkan hasil kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-negeri dengan JAWHAR. Projek pertama yayasan ialah wakaf tunai. Ekoran itu beberapa negeri telah mewujudkan badan khas bagi melaksanakan pungutan wakaf tunai. Misalnya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menubuhkan Perbadanan Wakaf Selangor melalui potongan gaji ANGKASA bagi kakitangan kerajaan dari negeri Selangor. Badan yang serupa juga diwujudkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang, dan lain-lain Majlis Agama Islam Negeri.

Mengikut peraturan Majlis Agama Islam Negeri setiap kutipan wakaf hendaklah di masuk di dalam akaun wakaf majlis agama masing-masing.ini menyebabkan sukar untuk dilaksanakan kerana ia memerlukan kelulusan Sultan atau Yang Dipertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Melaka.

Justeru Majlis Agama Islam Negeri kita mesti kreatif supaya ia tidak terjebak dengan peraturan di atas iaitu dengan membenarkan mana-mana pihak untuk melakukan kutipan untuk diwakafkan dengan dikawal oleh Majlis,

Kemudian barulah diwakafkan untuk tujuan tertentu seperti membeli bangunan dan sebagainya. Selepas itu harta tersebut baru didaftar sebagai wakaf bagi negeri berkenaan.

Dengan cara ini wakaf akan berkembang dengan pesat. Contohnya ANGKASA hanya membuat kempen dikalangan anggota koperasi seluruh negara untuk infaq bagi diwakafkan bagi tujuan tertentu. Hal serupa boleh dilakukan galakan infaq untuk wakaf sekolah Agama dan lain-lain dengan pemantauan Majlis Agama Islam.

Kemudian diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dengan tujuan yang telah ditetapkan.

Kita harus menyediakan infrastruktur untuk amalan infaq yang akhirnya menjadi Budaya Masyarakat bagi membangun ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia. Ia sebenarnya membantu kerajaan dalam pembangunan ekonomi negara.

Pentadbiran Wakaf ANGKASA

Pentadbiran Wakaf ANGKASA dilakukan bersama di antara ANGKASA dan Majlis Agama Islam negeri dengan menumpukan di dalam perkara berikut:-
a) Penentuan Dasar wakaf tersebut dari segi tujuan dan matlamat.
b) Pembukaan akaun yang dikawal bersama.
c) Menentukan pentadbiran dan pengurusan harga wakaf tersebut.
d) Keutamaan penggunaan wang wakaf tersebut bagi pembelian bangunan untuk tujuan yang ditentukan oleh ANGKASA demi kepentingan anggota koperasi seluruh Malaysia.

Kesimpulan

Wakaf koperasi merupakan satu kekuatan kepada sektor koperasi negara bagi memantapkan gerakan koperasi itu sendiri. Ia adalah selaras dengan dasar dan prinsip koperasi yang menekankan amalan tolong-menolong di antara satu sama lain, bekerja secara sukarela untuk masyarakat dan prihatin terhadap masyarakat. Adalah diyakini wakaf koperasi akan mampu menyediakan pusat kesihatan, pusat pelancongan dan memiliki premis perniagaan yang besar di tempat-tempat yang strategik yang akan menjadi mercu tanda di bandar tersebut.

Disediakan :-
Prof. Dato’ Dr Mohd Ali Hj Baharum
Yang Dipertua ANGKASA