PERKEMBANGAN TERKINI PROJEK HARTANAH MEDAN GOPENG (HMG)

KIMK Bhd On 4:34 PM



Semua Pencarum TDK - HMG




Terlebih dahulu saya merakamkan penghargaan atas kepercayaan dan sokongan tuan-tuan dalam menjayakan projek ini.


Dimaklumkan kepada para pencarum dalam Tabung Deposit Khas – Hartanah Medan Gopeng (TDK – HMG), bahawa jumlah pegangan ekuiti TDK – HMG dalam projek ini adalah sebanyak 11%, iaitu bersamaan RM 43 500.00 dari keseluruhan kos pembelian sebanyak RM 395 249.40.
Pihak koperasi kita telah menyelesaikan segala urusan pembayaran dengan pihak penjual pada 7hb. September, 2011 yang lalu setelah pihak SKM menjelaskan kepada koperasi pinjaman yang berjumlah RM 315 000.00. Dengan ini telah rasmilah bangunan yang dibeli itu menjadi milik kita bersama. Alhamdulillah syukur kita kepada Allah swt kerana mempermudahkan urusan ini kerana kedua-dua tingkat bangunan ini juga berjaya disewakan pada saat kita membelinya dengan kadar sewaan RM 2 600.00 sebulan.


Pihak koperasi mengunjurkan dividen kepada pencarum sekitar 6.1% setahun yang akan insyaallah dibayar mulai tahun 2012 (Ramadhan 1433H), selagi tuan masih memegang caruman ini. Insyaallah koperasi akan mula memulangkan caruman tuan-tuan mulai Syawal 1433H secara berperingkat-peringkat. Sebarang keperluan untuk mendapatkan segera caruman ini, sila maklumkan dan berbincang dengan pihak kami.


Sebarang kemusykilan/masalah dan ketidakpuasan, sekiranya timbul, diharap dapat kita perbincangkan secara profesional sebagaimana tuntutan persaudaraan dalam satu jamaah Islam. Pihak tuan juga boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung Koperasi kita ini melalui facebook di alamat 'page' Koperasi Ikatan Muslim Kinta Berhad atau di http://www.kimk-bhd.blogspot.com/ atau terus menghubungi pejabat di talian 05-312 9942.


Sekali lagi diatas segala kepercayaan, sokongan dan kerjasama tuan-tuan, kami dahului dengan ucapan ribuan terima kasih. Semoga segala urusan kita mendapat redha dan rahmat Allah swt dan diterima sebagai ibadah dalam urusan muamalat ini.


Sekian, wassalam. Terima kasih

Kempen Keanggotaan pada 25/9/2011

KIMK Bhd On 5:05 AM



Kempen Keanggotaan pada 25/9/2011



Bersempena dengan Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran PAS Kawasan Gopeng pada 25hb. September 2011 ini, pihak Koperasi Ikatan Muslim Kinta Berhad mengambil kesempatan yang ada dengan mengadakan Kempen Keanggotaan pada hari tersebut.




Majlis ini akan di adakan di rumah AF Ustaz Abu Bakar Husain, yang merupakan salah seorang anggota Panel Syariah koperasi ini. Pihak Koperasi akan membuka kaunter pendaftaran pada majlis yang akan bermula pada jam 10.00 pagi itu. Adalah diharapkan semua anggota jamaah dapat menghadiri majlis ini dan seterusnya turut mendaftarkan diri sebagai anggota koperasi ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha 'jihad ekonomi' jamaah. Borang pendaftaran boleh di isikan di kaunter pendaftaran dengan bayaran minima RM 60.00 sahaja.



MEDAN 'JIHAD EKONOMI' UMAT

Sekian, wassalam.

Kursus Asas Koperasi pada 30/9 - 2/10/2011 di P.Pangkor

KIMK Bhd On 4:31 PM

Assalamua'laikum.
Perhatian untuk para peserta kursus Asas Koperasi di P.Pangkor pada 30/9 - 2/10/2011

Dimaklumkan koperasi telah menyediakan bas untuk perjalanan ke Lumut dan Pulau Pangkor bagi mengurangkan kos para peserta. Semua peserta digalakkan menaiki bas untuk ke sana. Setiap peserta dikenakan bayaran sebanyak RM 30.00 seorang. Jadual perjalanan adalah seperti dibawah :

1. Jam 2.00 ptg (30/9/2011) : Bas mengambil peserta kumpulan 1 yang berkumpul di Masjid Kg Melayu Sg. Rapat.

2. Jam 2.30 ptg (30/9/2011) : Bas mengambil peserta kumpulan 2 yang berkumpul di di Masjid Ibnu Salam Kg Pengkalan Pegoh

3. Jam 3.00 ptg (30/9/2011) : Bas mengambil peserta kumpulan 3 yang berkumpul di Surau Kg Tersusun RPT Sri Rahmat ke Lumut

4. Jam 5.00 ptg (30/9/2011) : Tiba di Lumut dan bertolak dgn Feri ke P.Pangkor

Setiap peserta yang gagal menghadiri kursus ini akan didenda sebanyak RM 30.00 seorang oleh ANGKASA kerana Hotel dan makanan telah ditempah mengikut bilangan senarai peserta yang dihantar oleh pihak koperasi kita.

Sekian, harap maklum..
Terima Kasih.

PEMBELIAN HARTANAH DI MEDAN GOPENG SELESAI

KIMK Bhd On 4:52 PM

Salam buat semua anggota.

Alhamdulillah, segala urusan pembelian sebuah bangunan Kedai-Pejabat di Medan Gopeng telahpun diselesaikan oleh Koperasi kita semalam, 7/9/2011. Dengan selesainya urusan pembelian ini, pihak pengurusan KIMK Bhd. boleh memberikan tumpuan kepada aktiviti lainnya, khususnya dalam meneroka aktiviti ekonomi yang dapat memberi impak jangka panjang kepada koperasi kita. Segala urusan pembayaran telah diselesaikan dengan wakil Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah & Azhar yang diwakili oleh sdr. Haris Alimudin, sebagai peguam Koperasi.




Fokus utama koperasi sekarang ini adalah bagi menambahkan modal syer anggota bagi memulakan projek ekonomi yang baru. Ini kerana KIMK Bhd telah menggunakan hampir kesemua modal terkumpulnya dalam usaha memiliki hartanah ini. Dua strategi yang akan digunakan dalam usaha ini ialah dengan menambah keanggotaan baru dan para anggota yang lama pula menambah syer mereka kepada minima RM 1000.00 seorang.

Kos keseluruhan yang terlibat dalam usaha memiliki hartanah ini adalah hampir RM 400,000.00. KIMK Bhd. mengucapkan berbanyak terima-kasih kepada semua yang terlibat dalam merealisasikan usaha ini khususnya pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang meluluskan pinjaman sebanyak RM 315,000.00, dan mereka yang memberikan kepercayaan kepada KIMK Bhd dengan mencarum kedalam Tabung Deposit Khas – Hartanah Medan Gopeng (TDK – HMG) yang ditubuhkan bagi mencukupkan dana bagi membeli hartanah ini. Pegangan TDK – HMG dalam hartanah ini adalah sekitar 11% dari kos keseluruhan iaitu sebanyak RM 43,500. Adalah dijangkakan projek ini mampu memberi pulangan sekitar 6% setahun kepada pencarum mulai tahun hadapan. Kepada pencarum yang ingin mendapatkan semula modal mereka, bolehlah menghubungi pejabat KIMK Bhd. untuk perbincangan lanjut.

Semoga dengan kejayaan kita ini dapat memberi lebih keyakinan buat para anggota lebih proaktif dalam menjalankan tanggongjawab mereka sebagai seorang koperator. Adalah diharapkan semua anggota dapat mengambil bahagian dalam Kursus Asas Koperasi selama 3 hari 2 malam yang akan diadakan mulai 30/9/2011 ini di Pulau Pangkor. Daftarlah pasangan masing-masing sebagai anggota untuk membolehkan tuan/puan ‘berbulan madu’ disana sambil berkursus. Untuk maklumat lanjut, bolehlah menghubungi Setiausaha atau Puan Ina di pejabat KIMK Bhd.


Wassalam.