PEMBELIAN HARTANAH DI MEDAN GOPENG SELESAI

KIMK Bhd On 4:52 PM

Salam buat semua anggota.

Alhamdulillah, segala urusan pembelian sebuah bangunan Kedai-Pejabat di Medan Gopeng telahpun diselesaikan oleh Koperasi kita semalam, 7/9/2011. Dengan selesainya urusan pembelian ini, pihak pengurusan KIMK Bhd. boleh memberikan tumpuan kepada aktiviti lainnya, khususnya dalam meneroka aktiviti ekonomi yang dapat memberi impak jangka panjang kepada koperasi kita. Segala urusan pembayaran telah diselesaikan dengan wakil Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah & Azhar yang diwakili oleh sdr. Haris Alimudin, sebagai peguam Koperasi.




Fokus utama koperasi sekarang ini adalah bagi menambahkan modal syer anggota bagi memulakan projek ekonomi yang baru. Ini kerana KIMK Bhd telah menggunakan hampir kesemua modal terkumpulnya dalam usaha memiliki hartanah ini. Dua strategi yang akan digunakan dalam usaha ini ialah dengan menambah keanggotaan baru dan para anggota yang lama pula menambah syer mereka kepada minima RM 1000.00 seorang.

Kos keseluruhan yang terlibat dalam usaha memiliki hartanah ini adalah hampir RM 400,000.00. KIMK Bhd. mengucapkan berbanyak terima-kasih kepada semua yang terlibat dalam merealisasikan usaha ini khususnya pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang meluluskan pinjaman sebanyak RM 315,000.00, dan mereka yang memberikan kepercayaan kepada KIMK Bhd dengan mencarum kedalam Tabung Deposit Khas – Hartanah Medan Gopeng (TDK – HMG) yang ditubuhkan bagi mencukupkan dana bagi membeli hartanah ini. Pegangan TDK – HMG dalam hartanah ini adalah sekitar 11% dari kos keseluruhan iaitu sebanyak RM 43,500. Adalah dijangkakan projek ini mampu memberi pulangan sekitar 6% setahun kepada pencarum mulai tahun hadapan. Kepada pencarum yang ingin mendapatkan semula modal mereka, bolehlah menghubungi pejabat KIMK Bhd. untuk perbincangan lanjut.

Semoga dengan kejayaan kita ini dapat memberi lebih keyakinan buat para anggota lebih proaktif dalam menjalankan tanggongjawab mereka sebagai seorang koperator. Adalah diharapkan semua anggota dapat mengambil bahagian dalam Kursus Asas Koperasi selama 3 hari 2 malam yang akan diadakan mulai 30/9/2011 ini di Pulau Pangkor. Daftarlah pasangan masing-masing sebagai anggota untuk membolehkan tuan/puan ‘berbulan madu’ disana sambil berkursus. Untuk maklumat lanjut, bolehlah menghubungi Setiausaha atau Puan Ina di pejabat KIMK Bhd.


Wassalam.