ANGKASA tubuh koperasi perbankan Feb 2011

KIMK Bhd On 12:47 AM

ANGKASA tubuh koperasi perbankan Feb 2011
Dec 28, 10 4:45pm

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan melancarkan penubuhan sebuah Koperasi Perbankan Angkasa (KPA) pada Februari depan, bagi memberi kemudahan kepada 7,688 koperasi di bawahnya di seluruh negara.

Presiden Angkasa Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata KPA itu akan mempunyai modal berbayar RM300 juta dan surat kelulusan penubuhan telah diterima daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia pada bulan ini.

"Sudah banyak koperasi yang sedia memberi komitmen untuk memberi modal. Angkasa dibenarkan melabur 8.0 peratus dari modal berbayarnya, iaitu RM24 juta manakala koperasi lain boleh melabur sekurang-kurangnya RM1,000 sehingga maksimum RM15 juta," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Kempen Keahlian KPA Zon Selatan, dari kalangan koperasi di Melaka hari ini.

Mohd Ali berkata Angkasa sudah mengumpul modal RM50 juta dan penuh yakin jumlah itu (RM300 juta) mudah dikumpulkan malah ia dijangka menerima lebih daripada jumlah itu.

Dengan penubuhan KPA itu kelak, banyak bidang perniagaan boleh dibiayai oleh koperasi di seluruh negara, yang mempunyai 7.9 juta ahli, sehingga November lepas.

Antara cadangan produk yang akan dilaksanakan ialah membiayai modal untuk koperasi kredit memberi pinjaman peribadi kepada anggota mereka.

Skim Pinjaman perumahan secara konsep Musyarakah Mutanaqisah dan membantu membiayai projek hartanah milik koperasi.

Beliau berkata ciri-ciri produk perbankan ini akan memberi situasi menang-menang antara koperasi dan KPA dan tidak bersaing dengan mana-mana bank koperasi yang telah beroperasi di negara ini.

Mohd Ali juga berkata dengan tertubuhnya KPA, semua masjid besar di seluruh negara, yang kebanyakannya mempunyai banyak sumber kewangan yang kukuh, boleh menubuhkan koperasi kariah masjid masing-masing dan memajukan aset dan tanah wakaf masjid.

Beliau berkata apabila masjid ingin membangunkan aset masjid seperti tanah wakaf dan memerlukan sumber kewangan maka KPA akan menyalurkan pinjaman tersebut kerana bank komersil amat keberatan untuk menyalurkan pinjaman kewangan kepada masjid kerana tidak mempunyai cagaran dan penjamin.

"Kita akan memberi pinjaman tetapi dengan syarat wang yang dikutip setiap minggu atau bulanan dibayar semula kepada KPA," katanya.

Dengan tertubuhnya koperasi masjid itu kelak, bermakna semua ahli kariah akan menjadi ahli kepada koperasi tersebut dan kempen penubuhan sedang giat dijalan sejak bulan lepas, yang bermula di Pahang.

"Kita berpandangan sektor koperasi masjid juga perlu diwujudkan untuk menangani masalah tersebut secara khusus dan masjid perlu mempunyai perancangan bersepadu seperti koperasi sekolah yang mempunyai program yang seragam," katanya.

Katanya alat untuk menggerakkan ekonomi masjid adalah Koperasi Kariah Masjid, yang perlu mendapat galakan dan kelulusan dari semua Majlis Agama Islam negeri masing-masing dan ia perlu ada perjanjian antara masjid dengan koperasi masjid.

Banyak program yang fokus boleh dijalankan antaranya menyediakan pusat hemodialisis bagi pesakit buah pinggang.

--Bernama

Kisah bank paling murah hati di dunia

KIMK Bhd On 12:37 AM

Kisah bank paling murah hati di dunia
Dec 29, 10 12:05pm

Siapa pernah mendengar adanya bank yang sanggup meminjamkan lebih AS$10 bilion kepada golongan miskin tanpa cagaran, malahan kadar bayaran balik pula mencapai 98 peratus? Bagi mereka yang masih belum mendengar kisah Bank Grameen, pertubuhan kredit mikro pertama di dunia, ia sesuatu yang luar biasa. Walaupun operasinya bercanggah dengan kesemua peraturan perbankan konvensional, Bank Grameen berjaya membebaskan ramai rakyat Bangladesh daripada kancah kemiskinan. Lebih mengagumkan lagi, ia sehinggakan memperbaharui pembangunan sosial dan ekonomi bukan sahaja dalam negara malah merentasi dunia.

Orang yang muncul di sebalik idea bank ini, yang juga pemenang hadiah Nobel, ialah Profesor Dr Muhammad Yunus, pengasas dan Pengarah Urusan Bank Grameen, yang mengasaskan bank itu pada 1970-an semasa rakyat negara itu mengalami kebuluran. Dan inspirasi itu muncul pada satu pagi tahun 1976, semasa beliau berjalan melalui sebuah kampung untuk ke universiti di mana beliau adalah profesor ekonomi.
"Saya didatangi seorang wanita miskin yang memberitahu bahawa beliau hanya mampu meraih keuntungan dua sen (AS) sahaja dalam sehari bagi sebuah kerusi buluh yang dihasilkannya, kerana beliau berhutang dengan peminjam wang. Peminjam wang itu memaksa beliau menjual barangannya pada harga yang begitu rendah sehingga beliau hanya mampu menikmati keuntungan dua sen (AS) sahaja setiap hari".
Muhammad berkata, pada masa itu, beliau hanya perlu membayar peminjam wang berkenaan AS$1 untuk melangsaikan hutang dan membebaskan wanita itu daripada kitaran kemiskinan. Dan beliau lakukannya. Kegembiraan dan kelegaan yang dirasai oleh wanita miskin itu memberi inspirasi kepada Muhammad untuk mencari lagi mereka yang lain, yang masih berhutang dengan peminjam wang berkenaan.

Beliau menemui 42 orang lagi dan hanya perlu membayar AS$27 sahaja untuk melangsaikan hutang di samping dijadikan modal untuk membeli bahan mentah.Dengan jumlah wang itu, akhirnya mereka berjaya membebaskan diri daripada cengkaman hutang dan pada masa yang sama dapat menjual hasil produk kepada pembida yang menawarkan harga tertinggi. Ini telah membawa penambahbaikan ke atas status ekonomi mereka.Dalam berbuat demikian, beliau telah membantu wanita pertama itu mengecapi keuntungan AS$1.25 sehari, di sebalik hanya dua sen (AS) sebelum ini.

Di sinilah bermulanya laluan Muhammad untuk menubuhkan Bank Grameen yang menamatkan kitaran "pendapatan rendah, simpanan rendah dan pelaburan rendah". Muhammad berkongsi sejarah penuh inspirasi bank ini semasa satu majlis makan tengah hari di Malaysia baru-baru ini, sementara menyampaikan ucaptama bertema "Perniagaan Sosial dan Pengurangan Kemiskinan".

Majlis makan tengah hari khas ini dianjurkan oleh Khazanah Malaysia dan Akademi Pengarah Malaysia (Minda). Grameen bermakna "luar bandar" atau "kampung" dalam bahasa Bangla. Slogannya adalah "Bank bagi Miskin". Ia menawarkan kredit mikro kepada penduduk miskin luar bandar di Bangladesh, supaya mereka boleh memulakan atau membiayai perniagaan dan meningkatkan pendapatan. Muhammad berkata bank ini memberi pinjaman dalam jumlah kecil AS$200 setiap orang kepada 8.3 juta peminjam di seluruh Bangladesh dan pinjaman itu dibayar dalam bentuk ansuran bulanan. Apa yang mengagumkan, walaupun bank ini meminjam kepada mereka yang hidup di bawah garis kemiskinan, ia berjaya mendapatkan semula sehingga 98 peratus daripada pinjamannya.

Profesor ekonomi ini berkata prinsip asas bank ini sejak ditubuhkan ialah bank harus sampai kepada rakyat dan bukan sebaliknya.
"Kita menemui kesemua 8.3 juta peminjam ini di pintu mereka. Mereka tidak perlu ke mana-mana. Kami bertemu dengan mereka setiap minggu dan menjalankan urusan perbankan di kediaman mereka. "
Ia satu tugas yang besar. Tetapi ia satu-satunya cara kita boleh menggalakkan mereka menjalankan urusan perbankan dengan kami, memandangkan lebih 97 peratus daripada peminjam kami adalah wanita. Jika anda meminta mereka datang ke pejabat kami, itu tidak akan berlaku. Lelaki akan ambilalih tugas itu memandangkan merekalah yang selalu keluar. Wanita lazimnya tinggal di rumah menguruskan keluarga", jelas beliau.

Timbul pula persoalan yang tidak dapat dielakkan: mengapa Bank Grameen lebih suka memberi pinjaman kepada wanita? Jawapannya terdapat di laman web bank itu seperti yang tertera di bawah:
"Wanita di Bangladesh diabaikan oleh masyarakat. Melalui peluang untuk bekerja sendiri serta akses kepada wang, Grameen Bank membantu memperkasa wanita. Selain daripada itu, kajian menunjukkan bahawa output keseluruhan pembangunan adalah lebih ketara apabila pinjaman diberikan kepada wanita dan bukannya lelaki, memandangkan wanita lebih kemungkinan untuk menggunakan hasil yang mereka peroleh untuk menambahbaik keadaan hidup mereka dan mendidik anak-anak mereka".

Hari ini Grameen Bank dimiliki oleh golongan miskin luar bandar yang bergantung kepada perkhidmatannya. Peminjam-peminjam bank itu memiliki 90 peratus daripada sahamnya, sementara baki 10 peratus dimiliki kerajaan. Semasa menyaksikan kejayaan Bank Grameen dalam meningkatkan taraf hidup peminjam-peminjamnya, satu lagi persoalan timbul di minda Muhammad: apa pula masa depan keluarga-keluarga ini? Ia bukan satu soalan yang ganjil, memandangkan kebanyakan ibu bapa buta huruf. Ini boleh dikatakan menjamin kesinambungan kitaran tradisional kemiskinan, masalah kesihatan dan sosial yang mengiringinya.
"Kami memutuskan bahawa kami mesti memberi jaminan kepada kanak-kanak daripada keluarga ini supaya meneruskan persekolahan untuk melepaskan diri daripada kitaran kemiskinan dan beralih ke peringkat baru kehidupan", katanya.
Jadi rancangan itu dimulakan. Kemudian sesuatu yang begitu hebat dan menarik berlaku. Kanak-kanak ini bukan sahaja ke sekolah malah mencapai kecemerlangan dalam pendidikan mereka.Mereka menyambung pendidikan ke sekolah menengah dan seterusnya ke kolej. "Terdapat beribu-ribu orang seperti mereka, yang mencapai kecemerlangan di sekolah-sekolah. Kami langsung tidak menjangka ini kerana untuk mereka ke sekolah rendah sahaja satu pencapaian terbaik yang boleh kita harapkan bagi kanak-kanak luar bandar ini. Tetapi realitinya lebih baik daripada apa yang kami jangka", kata beliau.

Tetapi kemudian satu lagi masalah timbul. Sementara ibu bapa gembira yang anak mereka berjaya dari segi akademik, kos pendidikan pula tinggi jauh melampaui kemampuan mereka. "Jadi kami mempunyai ramai kanak-kanak yang cemerlang daripada segi akademik tetapi tidak mampu meneruskan dengan pendidikan mereka. Kami berdebat dengan Bank Grameen mengenai cara terbaik untuk memastikan mereka meneruskan pengajian dan kami muncul dengan penyelesaian ini - untuk memperkenalkan pinjaman pendidikan. Kini, tiada siapa yang ketinggalan".
Susulan itu, kini terdapat lebih 50,000 pelajar yang menerima manfaat daripada pinjaman pendidikan Grameen di sekolah-sekolah perubatan dan kejuruteraan merentasi seluruh Bangladesh. Muhammad percaya kanak-kanak dari keluarga yang kaya tidak lain daripada yang miskin. Bagaimanapun, daripada segi peluang, terdapat perbezaan yang besar."
Dan inilah yang membawa perbezaan besar dalam kehidupan mereka.

"Jika kanak-kanak miskin ke sekolah-sekolah terbaik di dunia dan bersaing menggunakan bakat terbaik yang ada pada mereka, mereka pasti berupaya dan berbakat seperti mana orang lain".
Penuntut Grameen di MalaysiaMuhammad jelas dilihat bercakap mesra mengenai Malaysia dan hubungan beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar. Muhammad telah banyak kali melawat Malaysia, walaupun sebelum idea Grameen bermula di luar Bangladesh.
"Malaysia bagaikan kediaman kedua saya. Sebenarnya, kali pertama idea Grameen diperkenalkan di luar Bangladesh ia adalah di Malaysia, dengan yang pertama di Pulau Pinang", jelas beliau.

Pada 1994, Muhammad menerima anugerah Tun Abdul Razak sebagai menghargai sumbangan beliau kepada dunia. Sejak Bank Grameen diperkenalkan pada 1976, beliau mengasaskan 25 syarikat yang kesemuanya bertujuan menambahbaik taraf hidup golongan miskin. Selepas mendengar sentimen Muhammad terhadap pendidikan, Azman dengan segera muncul dengan idea menyediakan biasiswa bagi pelajar Grameen untuk belajar di Malaysia. Hari ini, Yayasan Khazanah menaja 10 penuntut yang adalah anak-anak kakitangan Bank Grameen di universiti-universiti terpilih di Malaysia melalui Biasiswa Khazanah Asia. Yayasan ini juga setiap tahun memilih lima pelajar daripada keluarga miskin yang menggunakan khidmat Bank Grameen untuk menerima biasiswanya. Hari ini, bank ini merupakan sumber inspirasi dan model bagi banyak institusi dalam bidang kredit mikro. Tetapi di Bangladesh, ia lebih daripada itu. Ia mengenai masa depan peminjam generasi kedua, kata Muhammad.
"Ke mana mereka boleh pergi, apa yang mereka boleh buat. Mereka tidak lagi perlu balik ke kitaran kemiskinan. Mereka boleh mengharapkan masa depan lebih baik".
--Bernama
(Petikan dari Malaysiakini.com)