LAPURAN TAHUNAN KIMK BHD.

KIMK Bhd On 11:47 AM

1.0 PENGENALAN:

Anggota-anggota Koperasi Ikatan Muslim Kinta Berhad yang dihormati.

Anggota Lembaga Koperasi (ALK) selaku badan yang diamanahkan untuk menguruskan Koperasi ini, dengan sukacitanya membentang Laporan Tahunan Koperasi Ikatan Muslim Kinta Berhad bagi tempoh setahun berakhir pada 30 September 2010.

2.0 MAKLUMAT KOPERASI

2.1 Nama : Koperasi Ikatan Muslim Kinta Berhad

2.2 Aktiviti Utama : Pertanian

2.3 Objektif Koperasi Ikatan Muslim Kinta Berhad

Koperasi mensasarkan untuk menjadi satu entiti sosio-ekonomi yang terbaik dan dikenali khususnya dikalangan masyarakat Islam di daerah Kinta.

Objektif ekonomi Koperasi adalah untuk menjana pulangan yang berpatutan dalam bentuk pengagihan pendapatan dan pertumbuhan modal kepada pemegang-pemegang syer Koperasi melalui pelaburan dalam kepelbagaian aktiviti ekonomi seperti bidang Pertanian dan hartanah, sehingga koperasi mampu menjadi pusat sumber ekonomi kepada para anggotanya.

Objektif sosial Koperasi pula adalah untuk memantap dan melebarkan aktiviti sosial/kebajikan dan pentarbiyahan Islam kepada para anggota khususnya dengan sumber kewangan yang dimiliki koperasi dan seterusnya kepada masyarakat sekeliling sehingga mampu melahirkan insan-insan muttaqin.

2.4 Polisi Pengagihan Pendapatan Koperasi

Bagi kewangan tahun ini, Koperasi memutuskan untuk tidak mengagihkan sebarang perolehan memandangkan koperasi masih mengalami kerugian.

2.5 Pegangan Syer

Pada 30 September 2010, seramai 98 individu telah menganggotai Koperasi. Pecahan pegangan syer adalah seperti berikut :

Pecahan Pegangan Syer Bilangan Pemegang Syer Bilangan Syer
Kurang 1 54 RM 5608.00
1 31 RM 15,500.00
1 ke atas 8 RM 6,950.00
JUMLAH 93 RM 28,058.00

Seramai 8 orang anggota baru telah mendaftar sebagai anggota sepanjang tempoh setahun yang lalu.


3.0 PRESTASI KOPERASI

3.1 Perumpukan Aset :

Pada tahun 2010, tambahan aset masih lagi lagi bagi peralatan pejabat (Perabut dan peralatan komputer) seperti dibawah :

Nilai (RM)
Aset Tetap 926.50
Aset Geran 4,000.00
Jumlah 4,926.50

3.2 Perbandingan Maklumat Kewangan Bagi Tempoh 2 tahun pertama :

2010 (RM) 2009 (RM)
Pendapatan 16,747.47 2,638.85
Perbelanjaan 20,778.96 6,032.35
Keuntungan/Kerugian -4,031.49 -3,393.50
Margin keuntungan/Rugi -24% -129%
Modal Syer Anggota 28,058.00 18,408.00
Kumpulan Wang Anggota 20,351.01 15,014.50

Secara umum, prestasi koperasi meningkat dimana peratus margin
kerugiaan yang dialami berjaya dikurangkan dari 129% kepada 24%, tetapi dari segi nilainya bertambah dari RM 3,393.50 kepada RM 4,031.49. Kerugian terkumpul sehingga kini berjumlah RM 7,424.99.

Pertambahan dalam pendapatan tidak dapat melonjak keuntungan kepada
Koperasi kerana perbelanjaan turut bertambah. Ia memberi indikator bahawa kos operasi agak tinggi berbanding sumber pendapatannya dan ia belum mampu untuk menanggung kos ini. Disamping itu, ia juga menunjukkan aktiviti ekonomi koperasi masih terperangkap dalam aktiviti yang mempunyai margin keuntungan yang rendah.


3.3 Purata Pulangan Tahunan

Tiada pulangan untuk anggota bagi tahun kedua berturut-turut kerana koperasi mengalami kerugian sebanyak RM 4, 031.49.

4.0 LAPORAN PENGURUSAN


  • 4.1 Rekod Kehadiran Mesyuarat Anggota Lembaga Koperasi bagi tahun 2010:

    Bil. Nama Kehadiran
    1. Ahmad Jaafar bin Yahaya 10/10
    2. Mohamad Azlan bin Jamaludin 9/10
    3. Haji Hamdan bin Mohd Tahir 9/10
    4. Haji Abd. Rahim bin Md. Arif 9/10
    5. Haji Abdul Haiyi bin Mohd Tahir 9/10
    6. Mustafa Kamal bin Sindin 9/10
    7. Zainal Arif bin Abdul Khalid 10/10
    8. Haji Sarginan bin Sakiman 8/10
    9. Haji Ir. Anuar bin Hamzah 3/10
    10. Puan Nor Zaleha binti Mohayudin @ Moha 5/10
    11. Ahmad bin Osman 5/10
    12. Haji Mat Razali bin Abdul Rahman (sehingga 17/03/2010) 1/10
    13. Haji Rosli bin Hasan (dilantik mulai 17/03/2010) 5/10


    4.2 PERBANDINGAN PRESTASI

    4.2.1 Aspek Ekonomi :

    4.2.1.1 Pendahuluan

    Koperasi gagal dalam mencapai apa yang disasarkan dalam unjuran belanjawan yang dibentangkan semasa Mesyuarat Agung Pertama tahun lalu atas faktor-faktor dibawah :

    i. Koperasi gagal mendapat tender penyediaan makanan di MRSM Pasir Salak.
    ii. Kewangan : sumber kewangan koperasi masih kecil dan tidak mampu membiaya pekerja sepenuh masa.
    iii. Sumber manusia : Koperasi masih lagi belum memiliki pekerja sepenuh masa untuk melaksanakan fokus dalam aktiviti ekonomi.

    Bagi tahun kedua ini, projek-projek ekonomi yang dilaksanakan oleh pihak Lembaga adalah masih dalam skop menumpukan kepada usaha menyediakan asas untuk Koperasi bergerak sebagai satu entiti ekonomi yang kukuh pada masa akan datang. Disamping itu, ia turut mengambikira kekuatan sumber manusia dan kewangan koperasi. Aktiviti projek-projek ekonomi yang dijalankan (bagi tempoh setahun yang lalu) adalah seperti berikut :

    1. Projek Qurban dan Aqiqah Di Myanmar
    2. Projek Pembekalan (Trading)
    3. Projek Katering
    4. Projek Tender Kerajaan
    5. Projek Pemilikan Hartanah dan Kebun/Ladang Kelapa sawit

    4.2.1.2 Polisi Pelaburan

    Koperasi masih mengekalkan polisi berhemat dan berjimat-cermat. Bagi tahun kewangan ini, pada awalnya pihak pengurusan memfokuskan kepada Projek Anjung Budi Café di Tambun khususnya, dan mencari peluang dalam Projek Pertanian/Kelapa sawit.

    Beberapa lawatan ke tapak kebun/ladang kelapa sawit juga tanah kosong untuk dibeli atau disewa telah dibuat, bagaimana pun semuanya berakhir dengan kegagalan kerana faktor-faktor dibawah :

    i. Harga yang terlalu mahal.
    ii. Tanah yang tiada geran.
    iii. Tahap kesuburan pokok kelapa sawit yang berisiko.
    iv. Tiada persetujuan diantara tuan punya tanah dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh koperasi.

    Projek Anjung Budi Café di Tambun pula berjalan sehingga ke peringkat akhir pelancaran. Bagaimana pun, pihak Lembaga mengambil keputusan untuk menangguhkan projek ini bagi mengambil peluang di bidang hartanah apabila terdapat peluang yang dirasakan lebih baik dimana ianya lebih mudah diuruskan, risiko yang rendah dan pulangannya lebih terjamin.

    Di akhir sessi ini, pihak Lembaga menumpukan usaha untuk membeli sebuah bangunan kedai-pejabat yang lokasinya bersebelahan dengan pejabat Koperasi. Projek ini, yang dikenali sebagai Projek Hartanah Medan Gopeng (Projek HMG) yang nilai keseluruhan projek dianggarkan sekitar RM 400,000.00, diberi tumpuan yang lebih kerana mengambilkira faktor-faktor yang dinyatakan diatas. Alhamdulillah, sebagi makluman, perkembanganya sehingga kini adalah seperti dibawah:

    i. Perjanjian Jual-beli (S&P) telah ditandatangani pada 23/11/2010.

    ii. Bayaran Deposit (10%) telah dijelaskan oleh Koperasi melalui sumber Tabung Deposit Khas (TDK-HMG).

    iii. Pinjaman dari TMP-SKM yang bernilai RM 315,000.00 telah diluluskan pada 19hb. Januari, 2011 yang lalu.

    iv. Proses Pindah-milik sedang diuruskan oleh Peguam yang dilantik oleh pihak koperasi.


    4.2.1.3 Strategi Pelaburan

    Strategi pelaburan yang diambil adalah atas dasar :

    Risiko rendah dan pulangan terjamin

    4.2.1.4 Ulasan Pasaran

    Projek Qurban dan Aqiqah Di Myanmar

    Projek ini telah dimulakan oleh kopeasi dan berjaya memberi keuntungan sebanyak RM 200.00 kepada koperasi.

    Pada tahun kewangan Projek Qurban dan Aqiqah/Nazar agak merosot sepanjang tempoh tahun lalu. Walaupun projek ini berpotensi, ia tidak mendapat sambutan khususnya dari anggota koperasi sendiri.

    Projek Pembekalan (Trading)

    Projek ini telah dikembangkan kepada membekal barangan pengguna dengan kerjasama syarikat Kohalal mulai Jun, 2010. Projek ini berjaya memberi keuntungan sebanyak RM 452.92 kepada koperasi.



    Projek Katering

    Projek ini telah dimulakan pada Jun, 2010 dengan usahasama Budimas Enterprise. Projek ini berjaya memberi keuntungan sebanyak RM1,000.00 kepada koperasi.

    Seperti projek Projek Qurban dan Aqiqah/Nazar, ia masih tidak mendapat sambutan khususnya dari anggota koperasi sendiri.

    Projek Tender Kerajaan

    Koperasi masih gagal mendapatkan sebarang pulangan dari projek ini. Sebagai sebuah koperasi, adalah dirasakan lebih mudah untuk kita mendapatkan projek-projek dari pihak kerajaan termasuklah konsesi balak. Bagi menguruskan urusan pembidaan tender-tender kerajaan dan projek pembalakan, secara idealnya koperasi memerlukan pengurus atau pekerja sepenuh masa. Keadaan ini pasti akan memerlukan koperasi menyediakan dana bulanan secara tetap bagi membiayai kos tersebut terutama sebelum projek ini memberi pulangan kepada koperasi.

    Oleh itu, adalah diharapkan terdapat para anggota yang dapat menyumbangkan tenaga dan kemahiran mereka kepada koperasi sehingga koperasi mampu membiaya kos operasi projek ini.

    Projek Pemilikan Hartanah dan Kebun/Ladang Kelapa sawit

    Projek ini khususnya bagi Projek Hartanah Medan Gopeng (HMG) dijangka akan mula memberi pulangan kepada koperasi mulai tahun hadapan (2011).

    Usaha pemilikan Kebun/Ladang Kelapa sawit juga dirasakan mampu diusahakan oleh koperasi dengan menggunakan kaedah yang sama seperti Projek Hartanah Medan Gopeng (HMG) sekiranya para anggota dapat memberikan kesungguhan komitmen dan tekad untuk koperasi menjayakannya.


    4.2.1.5 Prospek Ekonomi dan Pasaran

    Pihak Lembaga mengharapkan para anggota dapat memberikan sokongan kepada aktiviti ekonomi koperasi khususnya dalam projek Ketering dan Projek Qurban dan Aqiqah/Nazar. Anggota-anggota diharapkan dapat melakukan aktiviti kempen dalam mendapatkan penyertaan yang lebih ramai bagi projek ini.

    Sesuai dengan aktiviti utama yang didaftarkan,iaitu Kelapa sawit/Pertanian, koperasi masih perlu melalui jalan yang panjang untuk menjayakannya. Sumbangan tenaga dari para anggota adalah dialu-alukan bagi mempermudahkan usaha ini.

    4.2.1.6 Pengagihan Pendapatan

    Tiada agihan pendapatan dikeluarkan memandangkan koperasi masih lagi mengalami kerugian.

    4.2.1.7 Kedudukan Tabung Dalam Tempoh Kewangan

    Tabung Deposit Khas - Hartanah Medan Gopeng (TDK-HMG) ditubuhkan oleh koperasi bagi membiayai Projek Hartanah Medan Gopeng, selain dari tabung-tabung yang diwajibkan oleh pihak SKM bagi menjana modal menggerakkan aktiviti ekonomi koperasi. TDK-HMG ini bernilai sebanyak RM 80,000.00, masih dibuka untuk penyertaan para anggota sehingga akhir bulan March, 2011.

    Para pelaburnya akan berkongsi keuntungan dengan koperasi dari projek HMG yang diusahakan ini atas dasar-dasar yang ditetapkan oleh pihak koperasi.

    4.2.1.8 Analisa Situasi Kepentingan Anggota

    Pihak Lembaga berpendapat usaha semua pihak diperlukan dalam menambahkan keanggotaan dalam Koperasi ini. Koperasi memerlukan anggota yang ramai bagi memperkuatkan sumber kewangan koperasi, selain dari para anggota menambah caruman syer mereka sebagaimana usul yang diluluskan dalam mesyuarat tahun lalu.

    Para anggota diharap dapat mengambil sikap responsif terhadap usul-usul yang diluluskan, begitu juga dengan peluang-peluang pembangunan insan khususnya dalam latihan keusahawanan dan sebagainya.

    4.2.1.9 Elaun dan Honororium

    Tiada elaun dan honororium dikeluarkan memandangkan koperasi mengalami kerugian.


    4.2.2 Aspek Sosial/Kebajikan :

    4.2.2.1 Bina Insan

    Setakat ini, program Bina Insan hanya melibatkan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dan Juru Audit Dalaman (JAD) sahaja, khususnya bagi menghadiri kursus wajib yang diwajibkan oleh SKM.

    Sehingga kini kesemua ALK dan JAD telah mempunyai sijil “Kursus Wajib” ini yang menjadi syarat bagi mereka yang ingin menduduki jawatan sebagai ALK dan JAD.

    Pihak Lembaga amat mengharapkan agar para anggota turut mengambil peluang ini, khususnya mereka yang berminat dan/atau terlibat dalam bidang keusahawanan.

    4.2.2.2 Kebajikan

    Sehingga kini, hanya Skim Takaful Tabaru’ sahaja dilancarkan oleh pihak Lembaga sebagai program kebajikan koperasi, dimana seramai 53 orang anggota telah didaftarkan pada 20/10/2010 yang lalu.

    Beberapa pindaan terhadap skim ini telah dilakukan oleh pihak Lembaga memandangkan usul yang dipersetujui dan diluluskan oleh Mesyuarat Agung tahun lalu tidak mendapat sambutan dari kalangan anggota. Antara pindaan yang dilakukan adalah seperti berikut :

    i. Yuran caruman dikurangkan dari RM 25.00 kepada RM 5.00 setahun.
    ii. Hanya mereka yang memiliki syer bernilai RM 100.00 dan ke atas sahaja di daftarkan.

    4.2.2.3 Tarbiyah

    Sehingga ke tarikh ini, tiada sebarang program tarbiyah dijalankan. Koperasi masih tidak mampu untuk menyediakan sumber kewangan untuk mengadakan aktiviti ini.

    Oleh itu,sumber tenaga sukarelawan di alu-alukan buat masa ini dari mereka yang sanggup memberikan tenaga secara percuma, khususnya dari para ustaz/ustazah.

    5 PENYATA AHLI LEMBAGA KOPERASI (ALK)

    Kami, sebagai ALK kepada Koperasi Ikatan Muslim Kinta Berhad, dengan ini menyatakan bahawa, pada pendapat Pihak Pengurusan, penyata kewangan bagi Koperasi Ikatan Muslim Kinta Berhad bagi tempoh setahun berakhir pada 30hb. September 2010, berserta dengan nota-nota yang dikepilkan padanya, telah disediakan dengan wajar bagi memberi gambaran yang benar dan saksama mengenai kedudukan kewangan Koperasi Ikatan Muslim Kinta Berhad pada 30 September 2010, dan keputusan serta aliran tunai bagi tempoh setahun berakhir pada tarikh tersebut.

    Ditandatangani bagi pihak Ahli Lembaga Koperasi (ALK) selaku badan yang diamanahkan untuk menguruskan Koperasi ini, menurut resolusi Ahli Lembaga Koperasi bertarikh 23hb. Disember 2010.



    _____________________ _______________________
    Pengerusi Setiausaha
    Ahmad Jaafar bin Yahaya Mohamad Azlan bin Jamaluddin


    ______________________
    Bendahari
    Hamdan bin Mohd Tahir

    6 LAPORAN JURUAUDIT

    6.1 LAPORAN JURUAUDIT LUAR

    Juruaudit Luar yang dilantik oleh Mesyuarat Agung Pertama yang lalu adalah
    Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

    Secara ringkas, terdapat 2 penemuan yang dibangkitkan oleh Juru Audit Luar iaitu berhubung perkara Modal Syer Anggota :

    i. Terdapat anggota yang masih belum menjelaskan bayaran penuh syer minimum.
    ii. Perbezaan baki modal syer anggota di antara Akaun kawalan dan Lejer Modal Syer Anggota pada tarikh tutup akaun koperasi.

    Perincian laporan audit oleh SKM adalah seperti yang disertakan di dalam Lampiran A.


    6.2 LAPORAN JURUAUDIT DALAMAN

    Juruaudit Dalaman yang dilantik oleh Mesyuarat Ahli Lembaga Koperasi adalah :

    i. Puan Nor Kamariah binti Shamsudin
    ii. Puan Norliza binti Abdul Hamid
    iii. Puan Nor Syahirah binti Abdul Haiyi

    Perincian laporan audit oleh Juruaudit Dalaman adalah seperti yang disertakan di dalam Lampiran B.


    7 PENYATA KEWANGAN


    Penyata kewangan adalah berdasarkan rekod perakaunan oleh Bendahari yang telah diaudit dan disahkan oleh Juruaudit Dalaman dan Juruaudit Luar, iaitu SKM.

    Perincian laporan kewangan yang telah disahkan oleh SKM adalah seperti yang disertakan di dalam Lampiran C.


    8 BELANJAWAN 2011

    KOPERASI IKATAN MUSLIM KINTA BERHAD

    ANGGARAN BELANJAWAN TAHUNAN (OKTOBER 2010 - SEPTEMBER 2011)

    PENDAPATAN (RM)
    JUMLAH PENDAPATAN 63,200.00

    PERBELANJAAN
    JUMLAH PERBELANJAAN 60,235.00

  • LEBIHAN PENDAPATAN ATAS PERBELANJAAN 2,965.00


    9 USUL-USUL

    USUL 1 :

    Mesyuarat Agong mengusulkan pindaan kepada skim Takaful Tabbaru’ yang diluluskan oleh Mesyuarat Agong yang lalu untuk anggota-anggota Koperasi yang memiliki syer minima RM 100.00 dan keatas, dimana nilai carumannya dikurangkan dari RM 23.00 setahun kepada RM 5.00 setahun.

    USUL 2:
    Bagi memperkukuhkan kedudukan kewangan Koperasi Ikatan Muslim Kinta Berhad, Mesyuarat Agong mengusulkan cadangan supaya yuran tahunan Skim Takaful Tabaru’ ditanggong oleh para anggota dimana yuran ini akan dipotong dari syer atau lain-lain pendapatan anggota yang dipegang oleh KIMK Bhd jika mana-mana anggota Koperasi gagal menjelaskan yuran tahunan tersebut.

    USUL 3:
    Mesyuarat Agong mengusulkan supaya sebarang perkara, keperluan dan/atau pindaan kepada Skim Takaful Tabaru’ ini diserahkan sepenuhnya kepada budi-bicara dan pertimbangan Mesyuarat ALK untuk memutuskannya dan tidak perlu diputuskan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi.


    10 LAMPIRAN- LAMPIRAN

    a) LAMPIRAN A (Muka surat i hingga vi)
    b) LAMPIRAN B (Muka surat i hingga iix)
    c) LAMPIRAN C (Muka surat i hingga viii)