UCAPAN PENGERUSI SEMPENA MESY. AGUNG PERTAMA

KIMK Bhd On 3:36 AM

LATARBELAKANG PENUBUHAN

Penubuhan Koperasi Ikatan Muslim Kinta Berhad bermula dengan usul dari Dewan Pemuda semasa Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Gopeng kali yang ke 20 dan diterima tanpa bahas. Pada 19hb. Oktober, 2008, di Dewan Dato’ Ahmad Said, Sungai Rokam, Mesyuarat Agung Permulaan KIMK Bhd. telah meluluskan usul penubuhan Koperasinya dan di daftarkan dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) secara rasminya pada 24hb. November, 2008
Sehingga kini, keanggotaannya seramai 88 manakala tiga orang anggota telah meninggal dunia dalam tempoh ini. Mereka yang meninggal dunia termasuklah seorang dari Ahli Lembaga Koperasi (ALK) iaitu Allahyarham Hj. Kamaruddin bin Mohd Noor manakala 2 orang lagi ialah Allahyarham YB Hj. Roslan b. Shaharom dan Allahyarhammah Puan Jamaliah bt Mohd Ariff. Semoga segala sokongan dan sumbang bakti mereka terhadap Koperasi ini dijadikan oleh Allah swt sebagai amal solleh. (Dari itu) Marilah kita bersama-sama menghadiahkan Al-Fatihah kepada mereka, semoga roh mereka berada dalam redha dan rahmat Allah,Al-Fatihah.
Saya bagi pihak Ahli Lembaga merasa terkilan dan memohon maaf kepada waris mereka atas ketidakupayaan Koperasi memberi sedikit sumbangan. Kami merasakan perlu bagi koperasi ini, sebagai satu entiti sosio-ekonomi, mengusahakan sesuatu yang dapat meringankan beban waris mereka. Atas tujuan ini, maka Mesyuarat Agong kali ini mengusulkan supaya setiap anggota Koperasi menyertai skim Takaful Tabbaru’.


PENILAIAN UMUM TAHUN PERTAMA 2008/9


Dalam aspek Urustadbir koperasi, prestasi Ahli Lembaga Koperasi (ALK) dan Juru Audit Dalaman (JAD) masih lagi pada peringkat asas dan mencari pengalaman, masih banyak lagi aspek yang perlu disempurnakan sebagaimana yang dikehendaki oleh Undang-undang Kecil koperasi dan SKM. Terdapat sebahagian ALK dan JAD masih lagi belum menghadiri Kursus wajib. Adalah diharapkan kepimpinan baru yang akan dilantik nanti dapat mengatasi kelemahan ini. Sebarang kekurangan, saya bagi pihak ALK dan JAD memohon kemaafan.
Modal syer terkumpul setakat ini masih belum mencecah RM 20 000.00. Bagaimanapun, dikesempatan ini saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada anggota-anggota yang telah memberikan kepercayaan, dokongan dan sokongan melalui pelaburan mereka ini. Dengan jumlah syer yang terkumpul ini, ia membawa maksud anggota-anggota perlu menambah pelaburan mereka. Dalam hal ini, saya melihat anggota-anggota perlu sekurang-kurangnya memiliki sebanyak 4 unit syer seorang. Dengan tambahan modal ini, saya percaya dan berharap Koperasi kita dapat bertindak dengan lebih agresif bagi memulakan usaha dalam sektor perniagaan utama iaitu perladangan kelapa sawit disamping meneroka dalam sektor urusniaga barang dan perkhidmatan sebenar (real goods and services). Setakat ini kita hanya boleh berpuas hati dengan persediaan infrastruktur Koperasi sebagai satu entiti sosio ekonomi jamaah, tetapi untuk bergerak lebih jauh dalam sektor ekonomi, masih amat banyak usaha yang perlu dilakukan.
Anggota-anggota perlu berkorban dalam hal pelaburan ini dengan tidak terlalu mengharapkan pulangan segera. Khususnya, kepada anggota-anggota yang telah mendaftar lebih dari setahun, tetapi masih belum menjelaskan caruman minima RM 500.00. Saya ingin tegaskan disini, jika kita melihat usaha penubuhan koperasi ini sebagai satu usaha dan ’jihad ekonomi’ jamaah, maka persoalan ’bilakah pelaburan kita akan memberikan pulangan’ bukan isu utama. Saya nyatakan disini, adalah satu pekerjaan yang mustahil untuk koperasi ini memberi pulangan yang lumayan dalam sekelip mata tanpa modal yang mencukupi. Tanpa tuan/puan meningkatkan pelaburan, koperasi sukar untuk bergerak. Suka saya mengingatkan,mana-mana pelaburan ’Cepat Kaya’, selalunya ia berakhir dengan penipuan. Sekiranya wujud skim pelaburan yang sebegini, sudah tentu ianya akan disimpan rapi dari diketahui oleh orang lain.
Mengharapkan sesuatu hasil dengan mudah dan segera bukanlah satu amal islami. Keadaan ini juga bertentangan dengan sunnatullah yang menetapkan hasil dari sesuatu usaha itu perlu melalui kesulitan, susah payah dan pengorbanan, seperti mana yang dijelaskan oleh Allah swt dalam surah Al-Anshirah, ayat 5 hingga 8 :

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ﴿٥﴾ إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ﴿٦﴾
فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ ﴿٧﴾ وَإِلَىٰ رَبِّكَ فَارْغَب ﴿٨﴾

Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, (5) sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. (6) Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain, (7) dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap. (8)

Inilah formula kejayaan yang didedahkan Allah melalui Al-Quran, yang menuntut kita mengamalkannya kembali, khususnya dalam konteks kita sebagai koperator. Untuk berjaya kita perlu melalui pelbagai kesulitan dan cubaan sebagai satu proses pentarbiyahan. Setiap urusan itu pula menuntut untuk dikerjakan secara bersungguh-sungguh dan cemerlang (itqan) dan mesti diselesaikan. Kita pula tidak boleh merasa cukup dan berpuas hati dengan selesainya sesuatu urusan itu, sebaliknya dituntut menerokai urusan yang lain pula, juga dengan usaha yang bersungguh dan cemerlang, sesuai dengan firman Allah ini.

Koperasi masih lagi belum mempunyai pekerja ataupun petugas sepenuh masa. Langkah ini diambil bagi mengawal perbelanjaan koperasi. Ini memandangkan modal terkumpul masih kecil. Disamping itu, kita masih belum lagi bergerak sebagai satu entiti perniaagan yang ‘genuine’. Dalam hal ini, pihak Lembaga merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Agensi Abd Rahim yang membenarkan pihak koperasi menyewa sebahagian premisnya dan menumpang pakai khidmat pekerjanya dengan kos yang cukup minima. Disamping itu koperasi turut menerima geran bantuan permulaan dari pihak SKM sebanyak RM 5 000.00 sebagai bantuan memulakan operasi koperasi. Diucapkan ’terima kasih daun keladi’ kepada pihak SKM yang membantu kami.

Dari pendapatan utama tahun kewangan yang lalu, aktiviti Qurban dan Aqiqah di Mynmar – (dengan kerjasama Nusa Enterprise), menyumbang sebanyak RM 900.00. Ia memberi kesimpulan bahawa kita terlalu bergantung kepada aktiviti sampingan. Ini memberi indikasi atau petunjuk bahawa kita masih belum lagi berjaya menggerakkan Koperasi ini sebagai satu entiti ekonomi yang mantap. Aktiviti yang sepatutnya menjadi aktiviti utama, gagal dimulakan kerana kekangan modal dan sumber tenaga manusia.

Walaupun pihak kita telah cuba untuk mendapatkan tender-terder yang ditawarkan oleh pihak kerajaan, namun ianya masih lagi belum berjaya. Masalah utama yang dihadapi ialah ketiadaan seorang pengurus sepenuh masa yang menguruskan perkara-perkara sebegini. Bagaimanapun, kejayaan mendapatkan lesen-lesen perniagaan dari Kementerian Kewangan dan Jabatan Perhutanan Perak dalam masa kurang setahun mungkin boleh menjadi penyejuk hati. Koperasi juga turut mendaftar sebagai ahli kepada badan induk koperasi kebangsaan, ANGKASA. Adalah diharapkan supaya anggota-anggota turut mencari peluang perniagaan ini, dengan mendapatkan kontrak dari mana-mana pihak yang berkenaan. Insentif akan diberi kepada mereka yang membantu Koperasi mendapatkan peluang perniagaan ini, insyaallah.

LANGKAH-LANGKAH PENAMBAHBAIKAN


Koperasi perlu bergerak menuju ke fasa permulaan sebagai satu entiti ekonomi yang sebenarnya. Sebagai permulaan, koperasi perlu mempercepatkan sasaran keanggotaan seramai 500 anggota dan meningkatkan pengumpulan modal. Insyaallah, kempen menambah keanggotaan dan caruman akan dilaksanakan, namun apa yang lebih penting ialah para anggota bersikap proaktif, dengan menunaikan iqrar yang ditandatangani semasa mengisi borang anggota, khususnya dalam aspek pemilikan syer. Langkah-langkah yang bakal diambil adalah dengan mendapatkan kerjasama dari pihak PAS Kawasan Gopeng dalam kempen ini. Adalah diharapkan, sebahagian besar ahli-ahli PAS Kawasan Gopeng mendaftar sebagai anggota baru koperasi, sebagai menyahut cabaran usul yang mereka luluskan, insyaallah.
Dalam rangka memperkemas urustadbir, insyaallah kita akan memanfaatkan Sistem Pengurusan Berkomputer ANGKASA. Kita berharap sistem ini dapat digunakan oleh koperasi dalam masa terdekat bagi memantapkan urustadbir koperasi.


SIKAP POSITIF LANGKAH EFEKTIF

B
erdasarkan prestasi setakat ini, Koperasi mencatatkan kerugian lebih RM 3 000.00. Kelemahan ini perlu diatasi segera bagi membolehkan koperasi ini dianggap sebagai sebuah koperasi yang baik. Masalah-masalah yang dihadapi perlu diselesaikan dan aktiviti-aktivitinya perlu ditingkatkan. Walaupun pada asasnya, Koperasi berada pada asas yang baik untuk berkembang, namun ia memerlukan sokongan moral yang lebih tinggi dan modal yang lebih besar, demi membolehkannya membuat lonjakan yang bermakna.

Koperasi juga perlu secara berani dan bijaksana meneroka bidang-bidang perniagaan baru yang bersesuaian. Potensi kita sebagai sebuah koperasi tidak akan dapat direalisasi sepenuhnya, kalau semata-mata bergantung kepada aktiviti Qurban dan Aqiqah. Halangan-halangan fizikal dan psikologikal perlu diatasi, sekiranya kita ingin melihat Koperasi ini melonjak ke hadapan.

Ketiadaan pendapatan yang substantial dan berterusan dari sumber yang lebih stabil akan mengakibatkan Koperasi menghadapi masalah aliran tunai dan ini akan turut menghadkan keupayaan perkembangan kegiatan perniagaan dan seterusnya tidak berupaya meningkatkan khidmat yang sewajarnya kepada anggota-anggotanya.

Pilihan yang berada di hadapan kita adalah sama ada kita ingin mengungkap kelemahan, kekurangan, ketidakupayaan dan kegagalan masa lalu dan mengulang-ulangnya dengan rasa kesal dan marah, atau segera berusaha mengambil apa jua pengajaran dari kekurangan dan kelemahan tersebut dan lantas bekerja keras mengatur usaha, memanfaat kekuatan-kekuatan yang ada, bagi menempa kejayaan-kejayaan baru untuk hari esok dan hari-hari selanjutnya. Saya fikir pilihan terbaik adalah pilihan yang kedua. Marilah kita bersama-sama membina kesatuan hati, kebulatan fikiran dan kesepakatan dalam tindakan, kerana kita tidak mungkin mengharapkan apa-apa perubahan positif kalau hati sudah terpecah-pecah, fikiran menjadi simpang-bercabang dan tindakan-tindakan yang hendak dijalankan tidak disokong dan tidak didokong. Biarlah kehebatan kita berkata-kata setanding dengan nilai amal dan kerja kita.

Insyaallah, barisan pimpinan yang akan dilantik nanti, pastinya akan meneliti perkara ini dan mengatasinya dengan izin Allah. Marilah kita bersama dengan mereka mengatasi masalah ini secara berjamaah. Jadikan usaha ini sebagai usaha jamaah dan bukan individu, hatta kelompok individu. Kekuatan jamaah insyaalah akan menjelmakan kekuatan yang mantap, tegap tegoh sepohon kayu, sebagaimana yang digambarkan Allah swt dalam Surah Ibrahim, ayat 24 – 25 yang bermaksud :

”Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, (24)
pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. (25)” - (Surah Ibrahim)


“Seperti sepohon kayu yang baik, akarnya teguh, cabangnya menjulang ke langit, memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya.” – inilah iltizam koperasi kita yang akan kita jadikan sebagai matlamat dan kenyataan dengan izin Allah swt, insyaallah”.


MEMPERKASA ASET TERAS

Daya insan, adalah aset teras (core asset) yang penting bagi sesebuah organisasi di samping element reputasi, harta intelek, teknologi dan kewangan. Dalam konteks koperasi, anggota-anggota atau para koperator adalah komponen daya insan terpenting dan aset teras yang boleh memberi kesan besar tehadap masa depan koperasi.

Bagaimanapun ini bergantung kepada kualiti anggota dan tahap komitmen mereka terhadap kemajuan koperasi. Anggota-anggota yang komited dan bertanggungjawab mempunyai kemampuan yang lebih baik dalam melakar kejayaan dalam koperasi. Komitmen yang diperlukan tentunya lebih dari sekadar mencarum untuk mendapatkan pulangan keuntungan, tetapi juga bersikap proaktif, mengambil berat tentang perkembangan koperasi, menyumbang idea dan pemikiran serta mengambil bahagian aktif bagi menjayakan kegiatan dan aktiviti – aktivitinya.

Untuk koperasi kekal kuat, anggota-anggota koperasi mestilah mengambil sikap kebertanggungjawaban dan ’ownership’ secara serius. Mereka mestilah mendengar dan mengajukan soalan-soalan kepada pimpinan mereka, menawarkan idea-idea, kekal setia dalam melaburkan kewangan ke dalam koperasi mereka sendiri.
Kami dapati anggota-anggota masih ‘terkial-kial’ dalam mendapatkan maklumat tentang perkembangan koperasi. Dalam hal komunikasi antara anggota dan pengurusan koperasi ini, hubungannya mestilah bersifat dua hala. Suka saya menyarankan supaya anggota-anggota bertindak secara proaktif dalam hal ini, selalulah mengungjung pejabat Koperasi untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan koperasi kita. Bagi mengatasi masalah ini, Koperasi telah dan sedang mebangunkan satu laman web untuk anggota-anggota mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini. Anggota Koperasi dengan mengakses laman web tersebut di internet, di alamat : www.kimk-bhd.blogspot.com. Walaupun laman ini tidaklah seberapa, sesuai dengan kos untuk membangunkannya, diharap masalah komunikasi antara anggota dan Koperasi dapat diminimakan.
Suka juga saya mengingatkan, semua ALK dan JAD, khususnya yang baru dilantik mestilah menghadiri dan mempunyai sijil Kursus wajib dalam tempoh setahun. Bagi mereka yang tidak dilantik, adalah amat digalakkan untuk menghadiri kursus ini sebagai persediaan masa depan. Mereka yang berminat, termasuk juga untuk kursus-kursus pembangunan keusahawanan, diharap dapat menghubungi kami untuk urusan pendaftaran kursus. Maklumat berhubung perkara ini akan dipaparkan di dalam laman web yang saya nyatakan tadi.

Mengakui hakikat ini, Koperasi merancang untuk menghantar anggota-anggota ke program yang disusun oleh pihak SKM, MKM adan ANGKASA bagi meningkatkan kualiti anggota. Dengan pemahaman tentang perinsip dan nilai-nilai koperasi, peranan serta tanggungjawab sebagai anggota, aspek-aspek keusahawanan dan perniagaan akan dapat membangunkan anggota koperator yang cerdik (intelligent) dan bertanggungjawab. Merekalah aset teras penentu kejayaan koperasi. Kepada anggota yang berminat, sila dapatkan maklumat dilaman web koperasi, www.kimk-bhd.blogspot.com atau menghubungi Setiausaha, atau pejabat Koperasi untuk maklumat lanjut dan pendaftaran.

Kejayaan pengurusan sesebuah koperasi adalah bergantung kepada kebijaksanaan kerjasama aktif anggota-anggota bersama pimpinannya dan pengurus/pekerjanya. Setiap kumpulan mestilah memikul pertanggungjawaban ini bersama-sama. Oleh itu,
marilah kita bersama-sama sebagai koperator, meningkatkan kualiti diri, menambah ilmu, membina persefahaman dan kerjasama yang lebih mantap, bersama memperbaiki kekurangan yang ada dan bertekad mengangkat martabat Koperasi Ikatan Muslim Kinta Berhad sebagai sebuah koperasi islam yang berjaya. Wassalam.