Sistem Ekonomi Islam (5)

KIMK Bhd On 9:26 PM

Contoh Riba Masakini

Sistem perbankan
Sistem perbankan adalam sistem kewangan yang dikenal pasti paling banyak menjalankan urusan riba', seperti pinjaman rumah, kereta, wang tunai, pinjaman pelajaran dll. Dalam sistem perbankan konvensional, faedah dikenakan ke atas peminjam, bermakna peminjam terpaksa membayar dalam jumlah yang lebih tinggi daripada jumlah sebenar yang dipinjam. Jika peminjam gagal membayar pada tempoh yang ditetapkan, jumlah faedah yang dikenakan juga akan bertambah tinggi dan sekiranya si peminjam gagal juga membayar pinjaman tersebut, bank dengan mudahnya akan membawa kes tersebut ke mahkamah yang seterusnya boleh membawa kepada perisytiharan muflis terhadap si peminjam.

Sistem Insurans
Unsur riba terdapat dalam urusniaga Pinjaman dari Polisi (policy loan) yang ditawarkan kepada peserta dalam produk Insurans Nyawa. Dalam sistem kemudahan pinjaman ini, Syarikat insurans akan mengenakan bayaran faedah (interest) kepada peserta yang membuat pinjaman. Jelas sekali bahawa bayaran faedah tersebut merupakan riba yang dilarang oleh Islam.
Elemen riba turut wujud dalam penjanaan keuntungan pelaburan dan insurans yang akan digunakan dalam pembayaran pampasan kepada pemegang polisi. Ini kerana dana-dana tabungan insurans, kebanyakannya dilaburkan dalam instrumen kewangan seperti bon dan juga saham yang kerap melibatkan syarikat-syarikat yang berurusniaga dengan kegiatan sistem perbankan konvensional.

Penyelesaian Riba

Sistem perbankan
Bagi membolehkan sistem perbankan yang diamalkan selaras dengan hukum Islam, urusniaga faedah (riba) adalah diharamkan sama sekali. Sebaliknya, bank masih boleh menjana keuntungan walaupun tanpa urusniaga riba melalui konsep-konsep berikut:-
Mudharabah (perkongsian keuntungan)
Wadiah (simpanan amanah)
Musyarakah (usaha sama)
Murabahan (kos tambahan)
Ijarah (pajakan)
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk rencana Perbankan Islam.

Sistem Insurans
Para ulamak telah sepakat memutuskan Takaful sebagai ganti kepada Insurans Konvensional. Dasar Tabarru'at menjadi teras utama yang membina paksi Takaful. Penggunaan dasar ini turut menyelamatkan pengurusan Takaful untuk seiring dengan keredhaan Syarak dalam soal Muamalah Islam. Dengan penggunaan Tabarru'at ini maka Takaful terselamat dari terkena unsur gharar dan maisir.

Takrif Tabarru'at
Tabarru'at merupakan perkataan Arab yang bermaksud menderma secara ikhlas. Dalam konteks perniagaan Takaful, setiap peserta yang ingin mendapatkan perlindungan Takaful mestilah hadir dengan niat yang ikhlas untuk menderma bagi membantu para peserta yang lain jika mereka menghadapi musibah. Dalam erti kata yang lebih tepat ialah, semua peserta tersebut bersetuju untuk saling membantu dikalangan mereka di atas niat yang sama.

Rujukan
Roll Eric, Sejarah Pemikiran Ekonomi, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur 1995, surat 14

Sumber :
http://ms.wikipedia.org/
http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/muamalat/jenis.htm